Monday, 9 December 2013
Kenduri Kahwin Yang Hebat
Hari Sabtu lepas saya ke Kulim untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu saya, iaitu anak bapa saudara saya yang saya panggil Pak Su. Macam selalu, kalau nak keluar dari Langkawi, kami akan mengambil feri terawal iaitu pada pukul 7.30pagi.
Hanya kami bertiga yang keluar iaitu suami saya, Sara dan saya sendiri. Kedua-kedua anak teruna saya bekerja.
Bila sampai ke Kuala Perlis, suami terus menghubungi tuan kereta sewa yang selalu kami pakai. Malam sebelumnya kami dah book Kelisa Auto tapi bila sampai dia orang cakap dah bagi orang lain. Perkara macam ni macam perkara biasa bagi pemilik kereta sewa. Apa nak buat terpaksa ambil juga lah Perdana yang asik mati enjin bila berenti di traffic light tu.
Kami pergi untuk sekejap saja dan dah plan akan balik pada petang hari nanti. Jadi untuk mengelakkan habisnya tiket feri, memandangkan punya lah ramai manusia yang menunggu feri di terminal Kuala Perlis, saya terus membeli tiket untuk balik ke Langkawi pada pukul 6 petang. Dah selesai satu bab.
Agak sesak juga jalan Kuala Perlis pada hari tu. Selalunya bila kami keluar sunyi ja jalan besar disana. Mungkin disebabkan cuti sekolah sekarang. Suami saya yang memandu dulu. Sara duduk dibelakang dengan cerianya menceritakan perihal kumpulan K-Pop kesukaannya Girls' Generation, perihal kawan-kawan sekolahnya yang rata-rata dah mula bosan duduk di rumah tak buat apa-apa dan meneruskan lagi dengan cerita-cerita perihal artis Korea. Tak bosan kah saya? Macam ni lah. Walau macamana sekalipun saya mesti mendengar celotehnya setiap hari samada saya suka atau tidak sebab saya satu2nya kawan dia buat masa sekarang.
Perjalanan ke Kulim mengambil masa lebih kurang dua jam.
Sejurus selepas Lunas dan menghampiri kawasan perindustrian Kulim, saya menelefon sepupu saya Yang untuk bertanyakan arah jalan. Pandai juga dia memberi pandu arah sebab kami dapat mencari rumah bapa sedara saya dengan senang. Kali terakhir saya kerumahnya, rasanya 15 tahun yang lalu. Mungkin lebih.
Kami sampai di sana lebih kurang jam 12,45 tengahari. Pak Su dan Mak Su sedang sibuk menerima tetamu-tetamu jemputan yang ramai pada waktu itu. Saya berjalan terus dan terus bersalam dengan Pak Su dulu. Saya boleh nampak wajahnya yang agak terharu melihat saya sampai juga ke kenduri anaknya. Maklum sajalah, sekali sekali nak keluar dari Langkawi ni bukannya senang. Anaknya, Kamal, sipengantin baru tu, agak janggal dengan saya sebab kali terakhir saya jumpa dia pun rasanya dia masih bersekolah.
Yang paling happening bila saya dapat jumpa ibu-ibu sedara saya yang sangat saya sayang Mak Njang dan Mak Lang saya. Seperti biasa Mak Lang selalu menitiskan air mata apabila berjumpa dengan saya.
Dah habis bersalam dengan mereka, saya ternampak pulak satu kumpulan yang ceria, tersengih-sengih kearah saya. Itulah sepupu-sepupu yang amat rapat dengan saya semenjak kami masih kecil lagi. Riuh rendah dengan gelak tawa kami sambil berdiri di tepi khemah dan bertukar-tukar cerita.
Habis bersembang dan bertanya khabar, kami terus mencapai pinggan dan melayan diri dengan nasi kenduri yang sangat sedap.
Sebab utama saya menulis entri pasal kenduri kahwin hari ni ialah nak berkongsi cerita mengenai cara kenduri itu diadakan di kawasan perumahan bapa saudara saya. Saya sungguh-sungguh rasa kagum dengan semangat kejiranan yang kuat dikawasan ini.
Saya diberitahu oleh sepupu saya, untuk kenduri kahwin ini, hampir semua bahan mentah di sumbang oleh jiran-jiran disekeliling. Ini adalah satu kerja muafakat yang sangat amazing bagi saya. Tak perlu catering, semuanya dilakukan oleh mereka. Dari siang menyiang, lapah melapah, memotong dan mengupas, semuanya dilakukan oleh mereka sendiri.
Kerja memasak dilakukan oleh orang lelaki dibahagian belakang rumah bapa saudara saya. Lauk pauk yang saya ingat adalah nasi putih, nasi minyak, gulai rebung kambing (kalau tak silap), daging masak hitam, ayam goreng rempah dan acar nenas.
Untuk air pulak ada air jagung, air limau nipis, teh o ais dan teh tarik.
Yang paling menarik perhatian saya adalah, jiran-jiran wanita mennyediakan pemanis mulut seperti bubur pulut hitam, roti canai, laksa, laksam dan burger. Saya diberitahu yang burger di sumbang sebanyak 500 bungkus.
Semua pemanis mulut ni, mereka hidang dihadapan rumah masing-masing dan mereka sendiri (jiran-jiran) yang melayan tetamu yang ingin merasa hidangan mereka.
Bagi saya, ini adalah satu amalan yang sangat mulia dan elok dicontohi oleh semua orang. Bayangkan, kalau sekali nak buat kenduri kahwin, kita perlukan sekurang-kurangnya dua puluh ke tiga puluh ribu untuk penyediaan pengantin, nak beli lembu, kambing, ayam, segala macam sayuran, beras dan lain-lain. Bila ada semangat muafakat sesama kita disatu kejiranan, tentulah ia sesuatu yang sangat menguntungkan bagi semua pihak.
Saya belum pernah hadiri kenduri kahwin yang dilakukan secara bermuafakat begini. Saya harap cara begini akan diteruskan lagi dan akan menjadi amalan kita semua memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang ni.
Dengan hati yang berat, kami terpaksa meninggalkan majlis pada jam 2.30petang takut terlepas feri pulak nanti. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada semua, kami mula bergerak menyusur ke lebuhraya.
Baru saja masuk melepasi tol, semua kenderaan bergerak macam kura-kura. Tersangatlah perlahannya. Ada satu masa tu, kenderaan langsung tak bergerak. Akhirnya sampai juga kami di R & R Gurun. Kami berenti sekejap sebab nak buat 'Asar. Bila dah siap tengok jam lagi sepuluh minit pukul lima. Allahu Akbar! Rasanya memang tak dan sampai ke jeti dah ni. Walau macam mana pun kami cuba juga.
Saya memecut selaju yang boleh tapi disebabkan waktu puncak, saya tak berdaya nak buat apa lagi. Pulak tu, dipertengahan jalan ada berlaku kemalangan. Aduhai, terpaksa ikut kenderaan yang berderet-deret.
Akhirnya kami tiba di jeti Kuala Perlis jam 6.30 petang. Dah tentu-tentu terlepas feri. Nak buat macam mana. Saya minta jasa baik kalau-kalau dia orang boleh bagi diskaun utk tiket baru atau saya boleh pakai balik tiket pukul enam tadi, tapi semuanya tak dilayan. Mahu tak mahu terpaksalah saya membeli lagi sekali tiket untuk kami bertiga berjumlah RM54.00.
Kami dapat naik feri terakhir iaitu jam 7petang. Kata pukul tujuh, tapi jalannya pukul 7.30petang. Kami sampai dirumah pukul 9.45malam. Saya dah keletihan sangat. Tak nak buat apa lagi dah cuma nak masuk tidur saja.
Jadi, itulah sehari dalam hidup saya. Secara keseluruhannya saya sangat gembira dapat bertemu dengan semua sanak saudara yang dah lama tak jumpa.
Salam dari saya dan selamat malam semua.
Rose
9th.December '13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam kak rose...
ReplyDeletemmm...mcm kat felda ni diorang mmg byk jugak bg brg2 tapi brg basah mcm ayam ka lembu ka, tuan rumah laa dok beli sendiri...hihi...sara minat k-pop ye kak???comey...sian akak kene beli tiket lagi...tak dak consideration betui kan...
w'salam yan, betul kalau bahan kering tu mmg selalu juga akak tengok tapi ini dgn ayam segala bagai.
ReplyDeletePasal feri tu, hemm nak buat macam mana...