Assalamualaikum teman pembaca semua,
Dah lama saya tak tulis dalam bahasa Melayu. Macam ni lah saya, ada masa terlebih rajin, tulis dua-dua bahasa, bila pula mai penyakit malas, bak kata orang utara, tak guna seduit. Pagi ni (Ahad 22/6/14) tetiba saya rasa nak tulis dalam bahasa Melayu, saya harap adalah orang yang sudi membacanya. Ni lagi satu sebab mengapa saya tak berapa nak tulis dalam bahasa melayu ni, sebab tak dapat sambutan (kecuali entri masakan), kalau dalam bahasa Inggeris tu dah tetap ada pembaca yang mengikuti blog saya ni.
Jangan pulak ada yang terfikir atau berkata saya riak nak tunjuk hebat dalam penulisan. Maksud saya, ini menunjukkan orang kita sampai hari ni masih kurang/tidak minat membaca. Walaupun pengikut blog saya tidak seramai blog hebat yang lain, tetapi saya bangga apabila setiap kali saya menulis didalam bahasa Inggeris, stats dalam dash board saya menunjukkan ramai yang membacanya. Cuma yang sedihnya, pembaca saya kebanyakannya dari U.S, U.K, Singapore dan lain-lain negara. Kalau dari Malaysia, hanya setelah saya muat naikkan entri masakan sahaja.
Hari ni saya cuba lagi menulis didalam bahasa Melayu, mana tau ada yang sudi membacanya. Hari ni saya nak tulis pasal orang Melayu dan sesuatu isu yang berstatus haram. Bunyi macam berat saja.. tapi saya cuba tulis secara santai.
Orang kita iaitu Melayu adalah orang Islam. Kalau dulu sebut saja Melayu, dah sah-sah ugama kita Islam. Tetapi sekarang ni agak susah kita nak cakap yang orang Melayu semua seratus percent Islam sebab ramai yang telah murtad. Nauzubillah.. tapi itu kenyataan dalam dunia akhir zaman ini. Walau apapun yang cuba dilakukan oleh pihak berwajib agar seseorang itu tidak murtad, kerja ni sangat sukar disebabkan ia membabitkan soal hati dan keyakinan kepada Allah SWT telah hilang.
Islam adalah agama yang "perfect" atau sempurna, tak ada langsung cacat celanya. Yang menjadi cacat celanya ialah umat Islam sendiri, yang melebih-lebih. Bila sebut pasal melebih ni, perkara yang paling menonjol adalah makanan yang haram di makan. Macam kes cadbury tempoh hari, ianya seolah-olah satu phenomena yang terhebat yang pernah terjadi keatas orang Islam. Maksud saya, semua orang menjadi terlalu sensitif dengan kes ini disebabkan ia dikatakan mengandungi DNA babi.
Saya faham, babi adalah haram untuk disentuh atau dimakan oleh umat Islam. Tapi kita orang Melayu ni yang saya nampak, kalau sebut pasal babi saja, haramnya seolah-olah lebih haram daripada benda-benda lain yang haram. Contohnya, didalam sesetengah produk coklat yang lain juga ada terkandung alkohol, didalam sesetengah kicap-kicap keluaran Jepun juga, ada mengandungi alkohol. Didalam sesetengah minyak wangi pun ada alkohol.
Kenapa tak ada "uproar" mengenai haramnya benda ini? Haramnya alkohol/arak adalah sama dengan haramnya memakan daging babi. Yang peliknya ramai orang-orang Melayu/Islam sekarang minum arak. Kenapa tak ada orang menangis-nangis dalam TV kata benda tu haram? Haram tetap haram, tak kiralah babi atau arak.
Dulu, belakang kampong tok saya, ada kampong Cina. Memang sah-sah dia orang bela babi. Bukan satu kandang tapi dua kandang. Baunya menusuk jiwa. Kat tepi rumahnya pulak dia orang tanam sayur terung, bendi cili dan banyak lagi sayur-sayuran lain. Untuk menyuburkan sayur, dia orang menggunakan najis babi ini sebagai baja. Jadi apa hukumnya keatas sayuran tadi? Memang dah confirm ada DNA babi kat setiap jenis sayuran tadi. Memang la arwah tok tak pernah membeli tapi macam mana dengan pembeli yang lain? Time tu mana ada face book atau twitter untuk kita hebahkan kepada orang ramai.
Macam juga anjing. Kenapa kita orang Melayu takut sangat dengan anjing? Tak payah banyak, kita tengok kalau nampak aja anjing dari jauh, kita dah ready batu ataupun kayu untuk memukul atau melontar batu tersebut ke arah anjing tersebut. Sebetulnya anjing tu tak ada la sangat nak terkam atau serang kita, tapi bila dia nampak kita seolah-olah takut sangat dengan dia, maka dengan serta merta dia bersikap "menacing". Kita semua sedia maklum binatang mempunyai daya rasa yang kuat. Jadi bila anjing tu ingat kita takut atau ingin mencederakannya, maka ia akan bertindak mempertahankan diri.
Harus diingat anjing juga ciptaan Allah (begitu juga dengan babi), seharusnya kita mempunyai sikap menyayangi haiwan-haiwan sejagat. Tak perlulah sampai kita perlu belai atau mencium anjing tu, cukup sekadar kalau kita nampak anjing jiran kat depan rumah, kita panggil namanya atau main-main dari jauh. Walaupun begitu, kita boleh menyentuh anjing tersebut sekiranya ia kering dan kita juga dalam keadaan kering. Kalau basah sekalipun, kita masih boleh samak Saya sendiri lebih sukakan anjing daripada kucing tapi tak adalah sampai tahap membela atau memeluk haiwan itu. Suka dari jauh saja lah.
Islam juga sebenarnya membenarkan kita membela anjing tapi bukan sebagai "pet". Kita dibenarkan membelanya sebagai menjaga keselamatan rumah kita, memburu atau menjaga ternakan kita.
Berbalik pasal topik makan babi tadi, kita di Malaysia ni hidup dengan tiga kaum berlainan (yang terbesar), iaitu India, Cina dan Melayu. Kita sedia maklum orang India kebanyakannya tidak makan daging lembu dan kita orang Melayu tidak boleh makan daging babi. Bagi orang Cina pula mereka bebas memilih apa saja untuk menjadi sajian harian mereka. Pada pendapat saya yang jahil ni, sepatutnya kita dah boleh terima bentuk pemakanan sesuatu kaum itu. Sepatutnya setiap kaum menghormati tuntutan agama satu kaum yang lain.
Orang Melayu tak boleh makan babi, jadi pengilang atau peruncit, janganlah cuba-cuba masukkan juga sedikit bahan terlarang itu kedalam makanan yang disediakan, itu tidak beretika namanya. Juga seperti orang India tidak memakan daging lembu, siapa kita nak mempersenda mereka? Mereka ada hak menurut tuntutan agama yang mereka anuti.
Pemikiran orang Melayu kita masih susah nak berubah. Kalau ada kelainan sikit, kita dah mula gelabah, dah mula fikir yang bukan-bukan. Sophie ada beritahu saya mengenai ustazah dia yang bercakap soal mengimamkan solat. Saya pasti ramai yang tidak bersetuju dengan ustazah ini tapi saya memandangnya dari sudut logik dan saya bersetuju dengan pendapat ustazah tersebut. Ustazah ni bilang, wanita boleh menjadi imam kepada suaminya sekiranya suaminya itu tidak pandai langsung didalam bab agama ataupun suaminya seorang yang baru memeluk Islam, kita sebut mu'allaf.
Bapa kepada ustazah ini tidak bersetuju dengan pandangannya memandangkan imam secara khususnya terletak di bahu lelaki. Bagaimanapun, ustazah ini memberi logiknya sendiri iaitu wanita tersebut boleh menjadi imam buat beberapa bulan pertama iaitu sehingga suaminya sudah dapat menjalani tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dan seterusnya mengimamkan keluarganya. Wallahu'alam.
Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah, kita terutamanya orang Melayu harus bersifat lebih terbuka tanpa mengenepikan hal-hal berkaitan agama. Kita harus menjadi seperti "sponge". "Sponge" bersifat menyerap. Kita harus belajar buka mata, minda dan hati untuk menerima pembaharuan. Sekarang banyak program-program ceramah agama yang tersiar di TV tempatan dan mendapat tempat dihati kita. Ramai yang minat menonton atau hadiri kuliah agama ni. Alhamdulilah, tapi janganlah kita hadirkan diri sebab suka cara seseorang ustaz tu bercakap atau membuat lawak saja. Bila balik rumah, kita cuma ingat lawak yang dibuat ustaz tadi, bukan pengisiannya. Ustaz-ustaz itu semua sudah menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat, jadi sewajibnya kita pulak menjalankan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga kita.
Kita perlu belajar menerima sesuatu dengan hati yang terbuka. Contohnya mangkuk rojak yang kita makan kat laman rumah petang semalam, tertinggal diluar. Pagi esoknya bila kita nak jemur baju kat depan, kita nampak anjing sedang menghidu atau makan kuah rojak dari mangkuk tu. Saya pasti ramai diantara kita yang akan membuang saja mangkuk tu kan? Kenapa tidak kita samak saja mangkuk tu daripada melakukan pembaziran dengan membuang mangkuk tersebut.
Jadi disini kita dapat lihat Allah tidak pernah memberatkan kita dengan sesuatu hal sebab kita semua adalah makhluk ciptaanNya. Kita sendiri yang selalu suka menyusahkan diri sendiri.
Maafkan saya sekiranya ada yang tersinggung dengan tulisan saya tetapi saya hanya ingin berkongsi "thoughts" saya dengan teman-teman semua.
Salam dari saya dan semoga diberkati Allah selalu!
Rose
22nd.June '14
No comments:
Post a Comment