Dah dua bulan setengah saya menetap di Selangor ni dan saya dah semakin familiar dengan keadaan dan suasana disini.
Sophie yang membuat latihan praktikal di Media Prima pun dah tamat tempoh latihannya. Begitu juga dengan adik nya Sara yang bekerja sementara di toko buku MPH di One Utama. Sara ni tak nak sambung kerja sebab kakaknya dah tak bekerja disana lagi, jadi dia pun nak berhenti. Dia ni jenis tak tahu nak bercampur dengan orang, kalau dengan saya atau kakaknya, bukan main murai lagi mulut dia. Lagipun result SPM dah nak keluar lagi 3 hari, jadi dia perlu balik ke Langkawi untuk mengambil keputusan SPM tu. Abah dia masih disana, jadi senang la kerja saya. Tinggalkan saja di airport. Biar dia balik sendiri, sampai kat sana abah dia pulak yang tunggu. Selepas tu, dia orang berdua akan balik kesini bersama.
Sementara tu, saya dan Sophie akan berada disini. Sophie sekarang dalam cuti semester (selepas habis latihan praktikal) dan semester baru akan dibuka pada bulan April nanti. Kami ada banyak masa terluang bersama.
Semasa diLangkawi saya dan suami bekerja didalam bidang pelancungan. Seperti syarikat pelancungan lain, kami juga membuat tempahan bilik, airport transportation, tour dan lain-lain lagi. Rasanya kalau dihitung dan dicongak, dah lebih tiga puluh tahun jugak saya dalam industri pelancungan ni. Waktu muda-muda dulu, saya didalam sektor perhotelan, begitu juga dengan suami. Bila dah berpindah dari Pulau Pinang ke Langkawi ni dan dah beranak pinak, saya bertukar angin dan masuk ke bidang agensi pelancungan. Mula-mula kerja dengan orang, bila dah pandai sikit selok belok perniagaan ni, saya kongsi dengan ex boss saya, si Jepun tu dan buka sendiri. Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari (berdrama lebih sikit), separuh jalan dia tinggalkan Langkawi, baik ke Jepun dan tinggalkan saya dengan hutang piutang yang teramatlah banyaknya untuk saya menanggung. Agaknya tu sebablah saya dapat cancer dulu tu kan? Terlalu risau.. haha.. apapun ini adalah salah satu hikmah yang Allah Taala bagi untuk menjadikan saya seorang hamba yang lebih kuat dan tabah.
Disebabkan dah terbiasa dengan dunia perniagaan ni, saya tak boleh duduk diam. Saya dah mula merangka dan merancang nak buat apa disini. Ikutkan hati, rasa nak duduk saja dirumah dan menghabiskan sisa-sisa umur ni dengan bersenang-senang hati dirumah dan mendekatkan diri denganNya. Tapi bila difikirkan balik, lebih elok buat sesuatu supaya otak saya sentiasa cergas dan tidaklah mendapat penyakit lain pulak disebabkan malas nak bergerak dan kurang menggunakan otak. Takut nanti jadi nyanyuk sebelum waktunya.
Banyak jenis perniagaan yang saya fikirkan. Suami nak saya buka kedai makan. Saya rasa dah tak larat nak masak secara pukal ni. Bukan apa, kerja memasak ni, sangat time consuming. Dari pagi sampai malam tak habis2 kerja dia. Saya pun bukannya sihat sangat macam dulu-dulu, jadi saya tolak ketepi idea ni. Terfikir nak sambung balik buat pelancungan disini tapi rasanya saya dah tersangat jemu dengan pekerjaan ni sebab dah terlalu lama. Lagipun dah tak larat nak melayan kerenah pelancung-pelancung terutamanya dari India. Sakit jiwa! Jadi idea ni pun saya tolak ketepi. The best ialah idea Sophie nak buat bisnes kecil-kecilan jual kain-kain tudung ni. Pertama modal tak banyak. Kedua, saya tak terlalu stress sebab lebih senang nak handle disebabkan Sophie akan membantu saya. Ketiga, saya agak confident boleh mendapat pelanggan tetap (walaupun sikit pada mulanya) disebabkan Sophie masih di college dan In Sya Allah Sara pula akan memulakan first semesternya bulan Mei ni. Boleh la dia orang promote kat teman dan rakan masing-masing.
Jadi saya dan Sophie dah bersepakat untuk membuat perniagaan online menjual kain tudung sebagai permulaannya. Sekarang ni kami giat mencari pattern atau corak dan jenis kain yang nak digunakan untuk memulakan bisnes ni. Hari ni kami nak keluar meninjau tempat yang menjual kain termurah dan cari corak yang sejuk mata memandang.
Saya bercadang nak jual dengan keuntungan yang minima supaya dapat anak-anak gadis yang masih belajar dan yang belum bekerja membeli sambil berjimat.
Seperti biasa, sejurus sebelum membuka apa-apa jua bisnes, banyak kerja yang perlu dilakukan. Tapi macam kata pepatah lama, alah bisa tegal biasa. Saya pun dah sangat biasa dengan alam perniagaan ni, jadi tak rasa serabut sangat. In Sya Allah, rasanya saya boleh buat kot sebab nak buat ni pun bukannya secara besar-besaran. Kalau dulu saya boleh buat, (agensi pelancungan) takkan lah sekarang saya takut pulak nak buat dalam skala yang lebih kecil, kan?
Nak buat kerja apapun, kita harus berani. Kalau setakat ada duit saja tapi tak berani nak ambil risiko, baik tak payah bukak bisnes. Jatuh bangun dalam perniagaan ni perkara biasa. Kalau kita selalu takut kerugian, memang kat tahap tu lah saja kita berada. Kalau ingat nak simpan duit takut kerugian dalam perniagaan pun sama juga akibat dia. Duit bukan boleh beranak pinak. Duit yang ada ditangan akan selalu kita gunakan. Kita tak sedar pun, kita fikir "Ahh.. tak apalah. Aku pakai seratus saja hari ni."
Esok pulak kita tak cukup duit nak bayar benda lain, kita guna lagi duit tu. Jadi duit kita makin berkurang. Tak ada jalan langsung duit nak masuk dan bertambah.
Walhal, bila kita buat bisnes yang walaupun kecil, sekurang-kurangnya kita dapat juga sikit untung. Kalau dalam sehari, (semasa permulaan bisnes) kita cuma dapat untung bersih dua puluh ringgit sehari. Kita darab dengan tiga puluh hari. Dah dapat RM600 sebulan. Kan dah terlepas sebulan punya sewa rumah?
Jadi moral of the story, kalau ada duit, buatlah perniagaan apa-apa pun walaupun berniaga goreng pisang asalkan halal dan jangan terlalu memikirkan dan mengambil untung yang terlalu besar. Itu dah jatuh haram jadinya. Lebih baik kita berniaga dengan niat nak menjaga keluarga dan seterusnya mengikut sunnah nabi yang menggalakkan umatnya berniaga. Lebih afdal gitu. Bersyarah panjang pulak saya!
Saya mohon doa teman-teman pembaca agar prancangan saya ini berhasil. Rasanya sampai setakat ni lah dulu tulisan saya buat kali ni. Dalam dua tiga hari lagi, saya masukkan pulak entri masakan. Jadi tunggu ya!
Salam hormat dari saya,
Rose
17th.March '14
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete