Assalamualaikum buat semua,
Sedap suasana pagi ni. Hujan sikit dalam pukul enam lebih tadi. Sudah solat subuh terus saya ke dapur nak cari bahan untuk buat breakfast pagi ni. Dah tak banyak yang tinggal sebab tak sempat nak tambah stok. Nampak kotak pancake belum buka lagi, tengok ada mee hoon sikit, kira boleh lah tu. Buat sikit-sikit, tak payah keluar beli breakfast lagi dah.
Tadi semasa sedang solat, saya dapat merasakan tahap khusyuk' saya hari ni agak tinggi, mungkin sebab sunyi suasana sekeliling membuatkan saya menangis semasa solat itu. Rasa hiba sangat di hati. Terlalu banyak kesalahan dan dosa saya kepada Dia. Terlalu banyak kelalaian dari diri saya untuk melakukan apa yang telah ditetapkanNya. Saya pernah berasa terlalu marah terhadapNya sehingga membuatkan saya menyoal apakah kebaikan yang ingin di berikan kepada saya dengan membiarkan saya melalui kehidupan yang amat payah ini. Na'uzubillah.. saya cepat tersedar. Kadang-kadang kita leka di dalam kesulitan hati dan perasaan sendiri hingga tak dapat nak fikir atau lihat atau nilai, rahmat yang di sediakan untuk kita di penghujung hari.
Setelah sekian lama, baru sekarang saya dapat faham bila ulama atau ustaz cakap, solat biar sempurna. Itu akan menjauhkan kita dari melakukan perkara-perkara yang mungkar. Kalau dulu, bila ustaz cakap macam ni, perkataan tu hanya saya dengar saja tapi tak dapat nak menghayati nya. Tapi sekarang saya faham, bila kita dah buat solat dengan elok, kita khushuk' mengerjakannya, perasaan tenang dan dekat denganNya dapat kita rasakan.
Kebanyakan daripada kita mengerjakan solat sebab ia salah satu perkara wajib. Bila cukup time, kita ambik wudhu' dan pergi solat. Bila solat pun kita nak cepat habis sebab boring buat benda yang sama setiap hari, lima kali pulak tu. Mana nak ambik wudhu' lagi, mana nak kena salin pakai telekung lagi dan bila dah habis nak kena lipat atau gantung pulak semua tu.. haih, banyak benda nak buat sebelum solat ni. Kalau kita duduk tengok TV senang ja. Kita baring terbongkang kat depan TV tu, pegang remote dan tukar channel. Tak payah gerak kemana dan happy lagi sebab cerita-cerita menarik dan menghiburkan.
Sebab itulah saya ingin mengingatkan diri saya sekali lagi dan juga sesiapa yang mempunyai fikiran seperti saya, bila buat solat apapun, saya harus buat dengan hati yang ikhlas bukan sebab wajib saja. Bila kita buat sebab wajib saja, saya takut kita tak mau berusaha memperbetulkan ayat-ayat yang kita baca dan sebut berulang kali, tata tertib semasa mengerjakan solat dan paling penting keikhlasan hati kita untuk mengadap Allah. Ikhlas kah kita bila dalam hati kita terfikir, "lambatnya nak habis sembahyang" atau " baru ja habis buat maghrib, satgi nak kena buat Isyak pulak".
Solat adalah perkara wajib dan ia juga bagi pendapat saya, macam kita nak bagi hadiah kepada Allah sebagai menunjukkan rasa syukur sebab telah mencipta dan meletakkan kita di muka bumi ini. Jadi bila nak bagi hadiah kena lah yang cantik dan menyenangkan hati sesiapa yang menerimanya.
Percayalah, bila kita dah dapat rasa kemanisan solat itu, dengan sendirinya kita takut nak buat benda-benda yang mungkar baik yang kecil mau pun yang besar. Betul! Terus terang saya katakan, sekarang kalau saya ambik satu pelepah daun kari kat rumah sebelah pun rasa macam berat sangat. Tapi sebab saya dah minta sebelum tu dan dia dah cakap ambik, ambik sajalah sebab banyak.
Maaf kan saya. Bila saya menulis hal solat ni, saya bukan berniat nak tunjuk hebat dalam agama atau riak sebab saya masih lagi amat kekurangan dan jahil dalam bab agama cuma ingin berkongsi apa yang saya rasakan. Anak-anak saya kadang-kadang lebih banyak ilmu agama yang dia orang dapat dan tahu berbanding saya. Saya tak malu nak tanya kat depa pasal benda-benda yang saya kurang pasti. Saya masih lagi belajar dan terlalu banyak yang belum belajar.
Jadi, saya harap teman-teman pembaca di luar sana tak marahkan saya. Topik ni datang pun secara mendadak. Bila kita ajar dan kerah anak-anak sembahyang, kita juga seharusnya menerangkan apa sebab kita sembahyang. Jangan pulak bila anak-anak tanya lebih, kita naik angin dan selalunya jawapan yang kita bagi ialah "Buat sajalah. Tuhan suruh kita buat dan ia perkara wajib. Kalau tak buat berdosa besar, masuk neraka". Itu jawapan kita. Kalau jawapan tu yang kita bagi pada anak-anak yang masih kecik (lingkungan umur 6 ~ 8 tahun) mungkin kita berjaya menakutkan mereka dan membuatkan mereka menunaikan solat dengan tekun. Tapi banyak yang saya tengok di sekeliling, anak-anak akan mula meninggalkan solat apabila dia orang dah masuk alam remaja.
Dia orang macam dah tak ada hati nak buat. Sebab dulu dia orang buat sebab mak bapa yang suruh bukan sebab dia ikhlas dan suka solat. Jadi bila dia orang tinggal solat dia tak rasa ralat sangat sebab solat adalah salah satu perkara yang terpaksa dilakukan sebab wajib. Anak-anak lelaki saya pun macam tu, suka-suka buat, suka-suka tinggal. Nasib baik anak-anak perempuan saya tak macam tu.
Jadi, sama-samalah kita memperbaiki solat yang menjadi tiang agama kita. Kita tak perlu berasa malu dan rendah diri kalau kurang pengetahuan di dalam hal-hal ini. Kita boleh belajar dari mana-mana sumber yang boleh kita akses untuk menjadi lebih baik dari sekarang. Kalau zaman dulu agak payah nak belajar kecuali kalau rajin ke masjid. Arwah tok saya ( tok adalah nenek panggilan bagi orang sebelah utara dan tok wan untuk atok) dulu, dia akan panggil satu ustaz mai kerumah untuk ajar cara-cara nak sembahyang atau hal-hal lain. Seminggu sekali. Saya jadi budak pengantara untuk bagi tau kawan-kawan dia Ustaz Hassan akan mai mengajar pada sekian-sekian hari. Jadi, pada hari berkenaan, ramailah kawan-kawan dia mai kerumah. Ini part yang saya paling suka.Setiap sorang bawa satu pinggan makanan. Jadi macam kenduri la pulak. Habis belajar ,itu yang saya cari dulu. Dan secara tak langsung, saya banyak menghafal dan memperoleh apa yang diajar oleh ustaz Hassan memandangkan saya akan menjadi tukang tulis untuk tok dan kawan-kawannya yang tak tahu menulis.
Itu time sukar nak mencari ilmu, La ni, bak kata orang sekarang, dunia di hujung jari anda. Kita google saja apa yang kita mau, dalam beberapa saat dah dapat jawapan yang di cari.
Jadi, selamat memperbaiki kelemahan kita dan salam sejahtera semua.
Salam dari saya .
Rose
20th.Dec '12
No comments:
Post a Comment