Blogger templates

Friday 29 May 2015

Aura Ustaz Kazim Elias

Assalamualaikum semua,

Selamat pagi Sabtu dan selamat beristirehat kepada yang bercuti hari ni. Dah dua tiga hari saya agak sibuk terkejar ke sana kemari menguruskan hal-hal berkaitan anak-anak dan diri saya sendiri.
Badan cepat letih bila usia sudah sebegini tetapi lebih elok saya sibukkan diri dengan sesuatu daripada duduk tanpa berbuat apa-apa yang mana boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti kemurungan, lengai otak dan penyakit kronik.

Malam tadi (29hb.May), walaupun sudah tersangat letih, saya tetap menghadirkan diri ke satu majlis ceramah Israk Mikraj yang di anjurkan oleh Pasaraya Syed di Sungai Buloh dengan penceramahnya adalah Ustaz Kazim Elias. Dah dua tiga kali saya terlepas ceramah yang dikendalikannya sebab pertindihan masa. Jadi, malam tadi walaupun saya lewat sampai rumah iaitu sekitar jam 8 malam (majlis bermula jam 9malam), saya dan Sara tergesa-gesa mandi, solat dan menyiapkan diri sebelum bertolak keluar rumah lebih kurang jam 8.20pm.

Kami sampai di sana10 minit sebelum jam 9. Suasana disitu dah sesak dengan orang ramai, baik lelaki maupun perempuan. Perkara pertama yang terlintas dikepala saya dan saya katakan kepada Sara ialah, samada Ustaz Kazim akan mulakan ceramah tepat pada masanya. Saya seorang yang selalu tepati masa dan saya akan menilai seseorang itu dengan cara ini. Sebentar kemudian, seorang lelaki ke depan dan menghampiri mikrofon memaklumkan kepada hadirin yang majlis akan dimulakan sebentar lagi. Buat sementara waktu jamuan ringan akan diedarkan kepada orang ramai sumbangan Pasaraya Syed.

Apa yang saya harapkan daripada Ustaz Kazim tercapai. Beliau seorang yang menepati masa. Walaupun ceramah tidak berlangsung tepat jam 9 tetapi Ustaz Kazim telah terpacak berada disitu pada masa yang ditetapkan. Dia hanya menunggu crew menyiapkan mikrofon dan makanan yang diedarkan. Sementara menunggu semuanya siap, beliau berdiri dan mengadap hadirin sambil memberikan pose yang santai kepada orang ramai yang ingin mengambil gambarnya. Sangat santai bagi seorang ustaz.

Ceramahnya bermula tanpa mukadimah yang panjang dan membosankan. Beliau terus pergi ke tajuk yang di tetapkan. Seperti biasa, ceramah yang disampaikannya sangat berkesan (sekurang-kurangnya kepada saya) Dalam ceramah malam tadi, Ustaz Kazim banyak menekankan tentang cara solat yang kita dirikan.

Ada ramai ustaz, ustazah dan penceramah lain yang berkaliber didalam memberikan ceramah yang berkesan kepada kita sebagai umat Islam. Tetapi apa yang saya kagumi tentang Ustaz Kazim ialah beliau seorang yang amat menghormati kaum wanita, kanak-kanak dan orang muda. Banyak kali didalam ceramahnya beliau menekankan supaya kita bercakap dengan nada yang lembut terhadap anak-anak, selalu berkias kepada para suami supaya menghargai isteri mereka dan mengucapkan terima kasih diatas segala pengorbanan yang mereka lakukan kepada para suami dan keluarga.

Dalam ceramah semalam, Ustaz Kazim mengingatkan agar kita sentiasa menyebut perkataan "tolong" walaupun kepada kanak-kanak apabila memerlukan sesuatu. Inilah yang kurang didalam masyarakat kita. Kita kurang menekankan sikap menghormati kepada orang-orang yang lebih muda daripada kita tetapi sebaliknya mengharapkan hanya golongan muda sahaja yang menghormati kita yang tua.

Cara pembawakan diri yang santai dan bersahaja membuatkan Ustaz Kazim salah seorang penceramah yang diminati ramai. Auranya dapat dirasai saat dia sampai dipekarangan khemah ceramah. Ramai yang mengambil gambarnya, tak ubah seperti seorang selebriti. Tidak berlebihan kalau saya katakan yang aura dan populariti yang ada pada Ustaz Kazim melebihi sesetengah selebriti yang ada di Malaysia ini.
Setiap ayat dan perkataan yang disampaikan, saya dapat absorb dan applykan dalam kehidupan seharian saya. Dia telah berjaya membuatkan saya menghargai kehidupan yang saya ada dan menilai semula kelemahan yang ada pada diri saya.

Mungkin ada yang tidak menyenangi cara dan corak penyampaian yang dilakukan oleh Ustaz Kazim tetapi kalau kita lihat dari satu sudut, dia telah berjaya membuatkan orang ramai lebih berminat untuk pergi mengikuti ceramah-ceramah agama berbanding dulu.
Seperti biasa didalam setiap ceramahnya dia akan menyelitkan potongan dan bait-bait lagu yang berkaitan dengan topik yang disampaikan.
Dia juga menyelitkan kejadian seharian yang tanpa kita sedari kita lakukan setiap masa. Gurauan dan jenakanya telah menjadikan ceramah agama lebih hidup dan menghiburkan daripada satu ketika dahulu yang mana ceramah agama lebih banyak menakut-nakutkan kita dengan alam kubur dan seksaan yang amat dahsyat. Memang harus kita mengingati hari mati dan azab seksaan yang bakal kita hadapi, tetapi harus diberi dengan cara yang tidak membuatkan seseorang itu merasakan agama Islam adalah agama yang keras yang hanya akan menyeksa dan menghukum orang sahaja. Daripada itu barulah kita akan dapat menarik minat ramai untuk mendalami agama kita dengan lebih mendalam dan hati yang lebih terbuka.

Semoga Allah akan membuka jalan yang lebih mudah buat Ustaz Kazim dan juga para penceramah yang lain untuk terus berbakti kepada umat Islam.

Sekian dari saya,
Rose
30th.May '15

No comments:

Post a Comment