Salam Aidil Fitri buat semua kenalan dan pembaca semua,
Alhamdulilah, selesai sudah kita mengerjakan salah satu daripada 5 rukun Islam iaitu berpuasa dibulan Ramadhan. Hari ni dah masuk hari raya ketiga. Sepanjang bulan puasa tahun ni, suhu panas yang melanda tersangatlah mencabar iman. Terasa bahang panas seawal pagi lagi, apa lagi diwaktu tengahari!
Alhamdulilah sekali lagi, tahun ini puasa saya penuh 30 hari, al-maklumlah dah senja-senja ni, dah menopause pun, jadi dapatlah mengerjakan sepenuhnya. Tapi yang saya terkilan sikit, saya tak dapat nak buat terawih seperti yang dihajatkan. Nak cerita pun malu juga, tapi tak apalah bagi cik-puan2 yang membaca diluar tu buat tak tahu aja lah ya.
Saya ni setiap kali bulan Ramadhan, untuk minggu pertama saya akan mengalami sakit kepala yang teruk dan kronik. Saya pun tak tahu kenapa tapi macam tu lah saban tahun. Jadi untuk mengelak daripada berbuka sebab teramat sakit, waktu sahur saya makan panadol siap-siap. Tapi saya tak makan lah setiap pagi cuma bila terasa sikit sengal-sengal dan sakit dikepala, baru saya makan, jadi dapatlah saya 'komplit'kan puasa saya tu.
Yang keduanya, saya akan mengalami cirit birit setiap kali selepas berbuka. Ini bukan sehari dua punya cirit birit tetapi selalunya lebih dari seminggu. Pulak tu, bukan sekali dua saya harus kebilik air tetapi lima atau enam kali. Tahun ni cirit birit saya sehingga tiga minggu.
Jadi bayangkan macam mana saya nak pergi terawih dalam keadaan macam ni. Jadi terpaksalah buat dirumah. Kalau dah namanya buat dirumah tu, maknanya tak penuhlah jawabnya.
Satu perkara yang baik yang dapat saya lakukan bila saya tak dapat menunaikan solat terawih ialah saya dapat mengkhatam Quran tahun ni. Saya dengar ustaz kata, baca sekurang-kurangnya 4 helai Al Quran selepas setiap solat fardhu. Itu yang saya buat dan alhamdulilah, saya dapat melakukannya. Saya bukan seorang yang tinggi ilmu agamanya, jadi bila saya dapat melakukan sesuatu seperti ini, saya sangat berbangga dengan diri sendiri.
Sepanjang bulan Ramadhan tahun ni, kebanyakannya saya masak dirumah. Dah terlalu banyak kali kami sekeluarga kena keracunan makanan yang teruk. Si Sophie sampai tak ingin langsung nak beli makanan yang berasaskan ayam atau ikan yang dijual digerai gerai atau dibazar Ramadhan. Kami cuma beli makanan seperti murtabak atau kuih muih. Yang lainnya semua saya masak dirumah. Jadi saya dapat berjimat dengan lebih banyak.
Ada kalanya teringin juga nak berbuka diluar tapi bila direnung dan dibelek harga harga yang terpampang di akhbar-akhbar harian, rasa "mengkelan" pula nak buang duit sebanyak tu. Mau nya tidak, orang tua macam saya ni makan nasi separuh pun belum tentu habis, kuih muih pun setakat dua tiga biji, macam mana nak pergi makan kat restoran yang menyediakan buffet dengan harga yang tak masuk akal. Bayangkan satu kepala RM68.00, kalau didarab lima kepala dah berapa? Itu belum makan dihotel lagi yang harganya melebihi RM150 seorang!
Jadi apa yang saya buat, setiap malam saya masak hidangan dan menu yang berlainan supaya nampak berseri dan seolah makan diluar.
Ini salah satu hidangan yang saya buat pada satu malam. Semua hidangan saya sediakan serba sedikit supaya tak membazir. Agak meletihkan sebab banyak kerja yang diperlukan tetapi alhamdulilah tak ada pembaziran langsung.
Semua saya buat sendiri, dari nasi ayam, karipap, tart telur, pulut durian sehingga ke pencuci mulut iaitu sago gula melaka. Semua bahan dah ada dirumah, saya hanya perlu beli durian untuk dimakan bersama pulut. Itupun saya dapat RM10 untuk enam biji durian kampung. Best dak?
Hari seterusnya pun saya buat begini. Macam karipap tu saya buat banyak-banyak sekali, simpan dalam freezer. Bila nak goreng baru keluarkan 6~7 ketul untuk digoreng. Kalau saya buat pulut seri muka, saya akan agihkan ke rumah jiran terdekat. Dengan cara begini meja saya selalu ada makanan yang berbagai variasi tetapi tidak berlebihan.
Alhamdulilah, Hari Raya tahun ni pun sangat menggembirakan hati saya walaupun anak sulung, Ariff tidak dapat bersama kami sebab tak dapat cuti. Ini kali pertama selepas berpuluh tahun saya dapat beraya dengan meriahnya sebab dapat bertandang kerumah saudara mara yang mana selama ini saya tidak dapat melakukannya disebabkan kami tinggal diLangkawi. Maklum sajalah, sesekali kalau nak keluar dari pulau tu memerlukan duit yang banyak. Jadi selalunya kami habiskan raya di dirumah saja.
Berbeza dengan tahun ni, saya dapat beraya dirumah sepupu di Kota Kemuning, kemudian kerumah mertua anak saudara di Subang. Hari kedua pulak kami ke Beruas Perak untuk melawat emak saudara saya iaitu Mak Lang saya yang paling saya sayangi. Dia umpama emak saya. Saya sanagt rapat dengannya sewaktu kecil dulu. Kesemua anak-anaknya adalah anak lelaki dan saya juga sangat rapat dengan depa semua. Dah macam adik dan abang sendiri bukan macam sepupu lagi dah.
Raya ketiga, kami berehat sat. Letih sangat dah berjalan. Hari ni saya masak sambal petai dengan sotong, buat sikit paceri nenas, masak ikan taucu dan goreng sikit ayam. Sedap makan macam ni. Dah muak tengok daging untuk beberapa hari ni.
Buat semua, salam dari saya dan saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada kata-kata dan tulisan saya ini ada menyentuh perasaan dan mengguris hati sesiapa.
Sekian ikhlas dari saya,
Rose
19th.July '15
No comments:
Post a Comment