Assalamualaikum semua,
Dah selalu sangat saya dengar golongan sejenis dengan saya (orang perempuan lah kiranya tu) merungut, masakan dia orang tak menjadi. Nak kata tak ikut resipi, dah ikut tapi masih tak dapat rasa seperti yang diharapkan.
Jom kita cuba fikir dan rungkaikan sebab musababnya.
Yang pertama : Bila kita tengok dalam TV dia orang masak, nampak gah, menarik dan sedap. Jangan tertipu, kadang-kadang dia orang pun sama macam kita tapi disebabkan dah dibuat editing, makanya nampak elok dan sedaplah makanan tu. Lagipun di dalam TV, dia orang boleh ulang dan buat lagi sehingga perfect manakala kat rumah, kita tak akan melakukan perkara sebegitu sebab kita tak suka membazir. Jadi kita sekeluarga akan makan juga makanan itu walupun terlebih masin ataupun masam.
Moral of the story? Jangan risau, masakan yang dihidangkan didalam Tv itu, belum tentu sedapnya seperti yang diharapkan.
Yang kedua : Apabila memasak, kita harus masak dengan hati yang ikhlas dan ada perasaan suka didalam diri kita. Ini pesan orang-orang tua dulu-dulu, dan saya percaya dengan pesanan ini. Cuba kita fikir secara logik. Kalau kita masak dalam keadaan tertekan dan menyampah sebab terpaksa siang ikan, bersihkan ayam, potong bawang dan sebagainya, perasaan ini terbawa-bawa sewaktu kita memasak. Jadi time nak masukkan bahan-bahan perasa yang penting seperti garam, asam dan gula, kita main campak ja. Lantaklah janji aku dah masak untuk dia orang makan. Hah! Ada dak yang berperasaan macam tu? Bila dah macam tu, macam mana masakan kita nak jadi sedap? Kita sendiri pun tak happy dengan product kita, macam mana kita nak harapkan orang yang memakannya menyukai masakan kita?
Jadi, cubalah untuk punyai sikit minat didalam seni memasak ni. Jangan tak tahu, memasak pun adalah salah satu cabang seni. Ingat senang ke nak kumpulkan semua jenis bahan mentah menjadi satu bentuk makanan yang sedap dan lazat.
Yang ketiga : Memasak memerlukan kesabaran dan latihan. Kita kena selalu rajin kedapur. Kalau 2 minggu sekali baru turun dapur, agak payah bagi kita untuk master-kan diri didalam sesuatu jenis masakan. Katakan lah kita nak masak ayam masak merah, tak mungkin kita akan masak setiap hari atau setiap minggu. Paling tidak pun 2 minggu sekali. Jadi bila 2minggu sekali, kadang-kadang kita terlupa apa yang harus dimasukkan. Eh tadi aku dah blend sekali tak lengkuas? Ataupun apa rempah ratus yang harus digunakan untuk masakan ni?
Faham tak maksud saya? Maknanya kita akan terlupa apa yang harus dimasukkan didalam sesuatu masakan itu, dan itu lah antara perkara yang menjejaskan rasa masakan yang kita cuba masak.
Yang keempat : Kalau kita boleh berlebih apabila tiba masa dapat gaji untuk shopping, kenapa tidak kita berlebih sikit untuk membeli bahan mentah yang baru dan segar. Sampai hari ni, saya hanya akan membeli ikan yang segar sahaja. Kalau saya tengok ikan tu dah merah mata sikit, saya tak akan membelinya walaupun stok dirumah dah habis. Ikan sebegini, kalau kita beli dan masak juga akan menjejaskan rasa masakan kita. Umpamanya ikan sebegini digoreng, kita dapat bau dari minyak gorengan itu tadi yang ikan ini hampir busuk. Ikan sebegini juga mudah melekat dikuali. Jadi, cuba elakkan dari membeli ikan yang dah lembik dan *benyai*. Percaya atau tidak, saya akan memandu ke Kuala Selangor semata-mata untuk mencari ikan dan makanan laut yang lain yang segar.
Yang kelima : Masak masakan yang simple dan menjadi pilihan keluarga. Mulakan masakan yang mudah seperti ayam masak kicap. Cuba semua jenis cara memasak ayam masak kicap. Ada separuh orang, masak kicap dengan memasukkan kerisik, sementara separuh lagi mungkin menggunakan sos tiram. Apapun, cuba semua cara dan jadikan ia hidangan yang kerap dihidang supaya kita menjadi master didalam hidangan ini. Selepas dah 'terer' dalam sajian ini, cuba tukar ke masak lemak pula, umpamanya. Dan begitulah seterusnya. dengan cara begini, sekuran-kurangnya apabila ada sedara mara atau rakan bertandang kerumah, kita boleh hidangkan 'masterpiece' kita ini kepada mereka. Dari situ, kita dapat menilai daripada feedback mereka yang telah merasa hasil air tangan kita.
Yang keenam : Jangan cuba mengubah identiti masakan kita. Katakanlah anda dah pro dalam memasak mee kari. Semua orang memuji mee kari anda sangat sedap. Pada satu hari, anda pergi makan kat rumah seseorang yang kuah mee karinya mengalahkan kuah yang anda selalu sediakan. Anda berjaya dapatkan resipi daripada orang itu. Apabila anda pulang kerumah, anda mencuba cara penyediaan seperti yang anda makan dirumah orang itu. It may turn out to be okay tapi ia bukanlah cara penyediaan yang selalu anda buat. Jadi apabila anda mencuba juga membuatnya, ia bukanlah seperti yang diharapkan. Hasilnya hanya ok sahaja dan anda pula akan kehilangan identiti kuah mee kari anda yang digemari oleh semua sebelum ini. Anda boleh mengambil sedikit sebanyak bahan-bahan yang digunakan oleh orang itu untuk menambah baik masakan anda tetapi bukan dengan mengambil bulat-bulat resipi orang itu. Jadi diri sendiri dan simpan identiti anda.
Yang ketujuh : Jangan dengar terlalu banyak nasihat daripada 'chef-chef' disekeliling anda. Ini kerana setiap orang punyai cara tersendiri. Mungkin didalam masakan kari dagingnya, dia akan masukkan tairu tapi anda tidak. Kemudian ada pendapat dari seorang lagi yang hanya menggunakan air tetapi tidak langsung menggunakan santan. Ini semua akan mengelirukan anda. Kalau anda dah biasa masak kari daging tanpa menggunakan tairu tetapi menggunakan santan, anda teruskan dengan cara anda sehingga anda dah benar-benar master didalam membuat kari daging ini. Setelah itu, anda boleh mula ber-experiment dengan bahan baru untuk memantapkan lagi sajian anda.
Yang kelapan : Apa jua yang kita masak, harus diingat, api dapur memainkan peranan yang amat penting untuk masakan kita. Tengok juga jenis kuali atau periuk yang dipakai. Contohnya, kalau menggunakan non stick pan, boleh dikuatkan api sedikit apabila menggoreng ikan. Tetapi sekiranya anda menggunakan kuali nipis biasa, apinya harus sederhana perlahan. Kalau tidak, makan nasi dengan ikan hanguslah jawabnya.
Begitu juga bila nak masak sayur campur. Api harus kuat dan garang, barulah sayur kita menjadi
lebih crunchy dan enak dimakan.
Kalau nak reneh sup, pasang api perlahan. Biarkan saja diatas dapur berjam-jam, tak jadi masalah, malah akan menghasilkan sup yang lebih enak dan lembut dagingnya.
Yang terakhir dan terpenting : Kenapa sambal tumis kita kurang 'kick'? Kenapa kari kita cair tak seperti kari mamak. Jawabnya senang saja. Bila kita bercakap tentang sambal tumis, maknanya base bagi masakan ini ialah cili. Jadi wajib dilebihkan cili didalam hidangan ini. Kalau kurang cili bukan nama sambal lah. Begitu juga nak buat kari. Wajib rempah kari yang lebih, bukan santan yang lebih. Sebab tu orang melayu kalau masak kari, ianya menjadi kari lemak sebab lebih santan dari rempah. Sama juga bila kita nak buat masak lemak. Dah tentu-tentu perlukan santan yang banyak. Tak mungkin kita pakai air yang banyak sebab kalau macam tu masak lemak ikan patin kita bertukar menjadi masak singgang ikan patin. Apa lagi contoh yang ada? Oh ya, sambal belacan. Kita perlukan cili dan belacan yang banyak iaitu melebihi bahan lain. Begitulah seterusnya dengan masakan yang lain.
Itulah sedikit sebanyak pengetahuan yang saya ada yang ingin saya kongsikan disini untuk kita sama-sama mencuba dirumah.
Saya tahu ramai yang akan bagi alasan bekerja dan tak sempat nak masak. Jangan, jangan bagi alasan tu sebab kalau itulah alasan yang kita gunakan, sampai bila-bila pun kita tak akan dapat menjadi tukang masak yang cekap dan hebat.
Saya juga pernah bekerja sampai 2012 dulu. Saya yang harus hantar anak kesekolah, saya yang harus mengemas dan memasak, saya juga yang harus menjadi manager di pejabat dan juga bertugas sebagai driver dipejabat sendiri apabila kekurangan pekerja. Pukul lima petang, sewaktu balik dari kerja, kadang-kadang saya singgah di pasar dan beli semua keperluan untuk memasak.
Saya siang semua bahan mentah dan simpan didalam freezer. Saya blender semua bahan seperti bwg putih/ bwg merah/halia dan simpan juga dibahagian chiller. Hari yang saya nak masak, saya cuma perlu defrostkan bahan-bahan tadi dan ambil keluar bawang yang siap diblender. Dalam masa tak sampai 45 minit saya sempat menyediakan tiga jenis hidangan iaitu, kari ikan, sambal tumis udang dan sayur.
Kalau saya boleh, kenapa tidak anak-anak yang masih muda diluar sana melakukan perkara yang sama?
Dengan cara begini, kita dapat jimat perbelanjaan membeli makanan diluar. Dan kita mengajar secara tak langsung agar anak-anak dan keluarga membiasakan makan makanan dirumah yang lebih terjamin kebersihan dan kualiti masakan itu sendiri.
Salam dari saya,
Rose
29th.Oct '15
No comments:
Post a Comment