Blogger templates

Friday, 16 January 2015

Dosa Dari Pandangan Orang Melayu

Assalamualaikum semua,

Dah lama saya terfikir nak tulis pasal cara pemikiran orang Melayu ni berkaitan bab-bab dosa pahala. Apabila saya tulis ni bukan bermakna saya seorang yang arif tentang agama, atau yang tinggi tahap pengetahuan agamanya. Apa yang saya nak tulis hanyalah pandangan saya secara peribadi.

Selalu kita dengar atau nampak sendiri perbuatan-perbuatan orang Melayu kita yang dicemuh habis-habisan apabila mereka tersilap langkah. Saya ambik contoh terbaru anak gadis yang dipeluk cium ketika konsert K Pop baru baru ni. Saya tengok seluruh negara gempaq dengan kejadian ini. Di laman laman sosial boleh dikatakan 90 percent orang ramai mencela perbuatannya.

Ini yang saya maksudkan dengan "dosa dari pandangan orang melayu." Bila terjadi sesuatu hal macam ni, semua sibuk upload kat social media masing-masing mengutuk keras perbuatan gadis itu. Memang tidak sopan bagi anak gadis itu membiarkan dirinya dipeluk begitu. Tapi tak perlulah mengutuk dia dengan menggunakan bahasa yang kesat. Baik-baik budak tu terfikir tak nak buat lagi dimasa hadapan, dia mungkin pusing U-Turn dan berazam lepas ni aku akan buat lebih teruk lagi sebab geram dengan masyarakat yang memaki hamun dengan seribu satu bahasa kesat. Biasalah bagi sesiapa saja terutama anak muda akan menjadi sedikit lalai bilamana bertemu dengan bintang pujaan mereka.
 Kenapa saya kata begitu? Sebab kita juga pernah muda suatu ketika dulu dan kita juga pernah buat silap. Dan bila orang menegur kita dengan cara dan bahasa yang kesat, ia membuatkan kita ingin retaliate atau memberontak.

Walaupun gadis itu membuat kesilapan dikhalayak ramai, dan dianggap berdosa sebab bersentuhan dengan bukan muhrim, tapi itu bukan dosa besar. Dosa besar ialah mengumpat atau mengata (salah satu drp dosa besar). Sebaliknya masyarakat kita menerima budaya mengumpat dan mengata ni macam satu makanan harian. Dosa mengumpat ni umpama kita memakan daging saudara kita yang telah mati.
Saya tak kata orang lain, saya sendiri pun mengumpat juga. Sedap mengumpat orang ni tapi sakit kalau kita yang di umpat. Boleh berperang besaq kalau kita tau seseorang mengumpat kita. Jadi cuba kita fikirkan bila kita maki hamun budak mentah tu dengan umpatan dan kata cacian yang makan sampai ke tulang hitam, apa rasa mak bapak dia?  Bagi saya sekurang-kurangnya gadis tu tak bersifat pura-pura baik. Kat rumah pakai tudung segala, bila keluar buka tudung. Masih ada kesedaran bagi dia untuk menutup aurat semasa pergi ke konsert tu.

Itu satu, yang kedua, bila ada hari kebesaran agama lain, contohnya Krismas atau Deepavali atau apa saja. Separuh orang yang saya kenal takut nak ucap Selamat Hari Krismas kepada kenalan mereka. Awat jadi sampai macam tu. Kita cuma wish dia selamat hari Krismas bukan bermaksud kita nak masuk agama Kristian. Bagi saya, hati dan jiwa raga saya hanya pada Allah yang satu. Walau apa cara digunakan untuk memesong akidah saya, tak mungkin saya akan menduakan agama suci ini. Jadi berbalik kepada ucapan selamat kepada teman dan kenalan kita yang berlainan agama, rasanya tak salah kita ucap selamat kepada mereka. Dah tentu mereka juga suka menerima ucapan dari kita. Ini semua berbalik kepada hati. Kalau niat kita ikhlas, tak ada apa yang nak ditakutkan. Cuma kita tak payah la nak pi sambut Krismas dengan depa semua sambil minum arak. Kita boleh menerima undangan tapi mengikut adab sebagai seorang Muslim yaitu makan dan minum apa yang halal sahaja.

Lagi satu bila ada seseorang dari agama lain meninggal. saya rasa tak salah mengucapkan Rest In Peace (R.I.P) seperti yang selalu digunakan orang. Kalau dalam Islam kita sebut Semoga rohnya dicucuri rahmat. Dalam konteks diatas, bagi saya, saya mengucapkan perkataan itu sebagai tanda menghormati orang yang telah tiada. Tiada maksud lain. Tak kan kawan kita yang berlainan agama meninggal dunia, kita nak kata, lantak dia lah.
Dan pada pandangan saya juga, hidup mati, dosa pahala adalah tertakluk secara mutlak kepada Allah Ta'ala. Mana kita tahu mungkin orang yang meninggal tu sebelum habis umur dia, Allah membuka hatinya untuk menjadi seorang mukmin. Dan secara tak langsung dengan iringan doa kita, Allah Ta'ala mengurniakan kedudukan yang mulia kepadanya. Tak patut kita iringi pemergian orang yang bukan Islam dengan mencemuh sebab kadang-kadang mereka ini lebih baik dari  segi akhlak dan tutur kata daripada kita yang dilahirkan Islam sejak azali.

Yang paling famous tentang dosa di malaysia ni ialah makan daging babi atau sesuatu yang berkaitan dengan anjing atau babi. Betul, haram bagi kita untuk menyentuh, memakan dan minum hidangan terlarang ini. Tapi orang kita telah membuatkan dosa makan daging babi seolah-olah dosa yang tak dapat diampunkan. Yang peliknya lebih ramai orang yang minum arak daripada makan hidangan dari daging babi. Tetapi disebabkan budaya kita lebih mudah menerima budaya minum arak ini, membuatkan  seolah olah dosa minum arak ini lebih kecil dari dosa makan daging babi. Padahal kalau ikutkan antara dosa-dosa besar, minum arak adalah yang paling buruk diantara segala dosa besar sebab apabila kita minum arak, kita dengan mudah melakukan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina, membunuh, mendurhaka terhadap ibu bapa dan lain lain lagi.

Terakhir, wanita bertudung. Sekarang ni di Malaysia hampir sembilan puluh percent wanita Islam yang memakai tudung. Sangat memberansangkan. Kalau dulu zaman saya masih disekolah menengah, kalau ada orang yang pakai tudung, semua mata memandang ke arah orang tu macam  "a weirdo". Sekarang dah lain, didalam sesuatu majlis kalau ada orang yang tak pakai tudung, semua mata akan mencuri pandang siapakah gerangan empunya diri yang tidak menutup auratnya. Alhamdulillah, kita semua sedang menuju ke jalan yang di redhai nya.

Menutup aurat bagi wanita adalah wajib, itu semua tahu. Kebanyakan kita sekarang bertudung tetapi memakai jeans yang ketat dan ber-blouse lengan panjang yang mengikut bentuk badan. Ataupun ada juga yang memakai baju besar tapi nipis dan pendek, berseluar legging yang mengikut bentuk paha dan kaki. Pakaian begitu lebih menarik perhatian lelaki daripada seorang wanita yang tak bertudung tetapi memakai seluar slack dan kemeja biasa. Jadi soalan saya sekarang, dimana kelebihannya bagi wanita yang bertudung tadi dan bagi wanita yang tak bertudung pulak? Saya tak cakap pasal orang lain, saya tuju pada diri saya juga, walaupun saya bertudung tetapi tidak bertutup rapat, contohnya kaki masih boleh dilihat, jadi tak sempurna jugak lah kiranya. Anak-anak saya ada yang bertudung, ada yang tidak. Jadi apa yang ingin saya katakan, walaupun seseorang itu memakai tudung atau tidak, kita tidak harus mengumpat mereka.

 Insya Allah, moga-moga saya diberi hidayah untuk terus menuju ke jalan yang diredhainya.

Oh saya teringat sesuatu yang ingin saya kongsi, ada satu hari tu saya ke Berjaya Times Square kalau tak silap. Sebab dah masuk waktu 'Asar, saya dan Sara pergi cari surau dan buat Asar kat sana. Disebelah saya, ada sorang anak gadis baru nak mendirikan solat. Bila saya dah siap solat dan bangun dari tempat duduk saya tadi, saya tengok anak gadis ni solat dengan memakai jeans ketat dan blouse yang ikut bentuk badan juga. Dalam hal ini saya tak berani nak kata apa-apa sebab saya bukan ulamak. Cuma kalau ikut pandangan saya lebih afdal jika anak gadis ini memakai telekung. Apapun dia telah menjalankan tugasnya sebagai seorang muslimah.

Seperti yang saya katakan tadi, dosa pahala semuanya adalah kerjaNya. Siapa kita untuk menulis di face book dan menghentam orang lain sesuka hati kita. Banyak mana sekali pun ilmu di dada, namun kalau hati masih belum kita cuba pelihara sebaik mungkin, selama itulah kita didalam kegelapan. Hanya nampak kesalahan dan kekhilafan orang lain tapi diri sendiri, kaum keluarga kita cuba kita tutupi.
Cuba untuk satu hari saja, kita duduk di rumah dan perhatikan sikap salah seorang ahli-ahli keluarga kita, pasti ada yang buruknya, cuma kita cuba menafikan keburukan itu. Kenapa? Sebab kita tidak mahu melihat keburukan yang ada didalam diri seseorang yang rapat dihati kita.

Kita harus menjadi lebih memahami tentang dosa pahala ni. Jangan sebab kita pandang seseorang yang dari luarannya nampak tidak muslimah,kita tohmahnya dengan tuduhan yang berat padahal anak kita sendiri tidak kita ketahui apa yang mereka sedang lakukan dibelakang kita. Wallahualam.

Selalu saya berpesan kepada anak anak, jangan kita hakimi seseorang itu dengan hanya mendengar cerita atau dari bahan bacaan sahaja. Pasti ada sebab apabila seseorang manusia itu melakukan perkara yang mungkar. Contohnya pelacur, pasti ada sebab bagi seorang wanita yang telah Allah hiaskan diri mereka dengan perasaan malu, sanggup berbuat maksiat dengan lelaki. Kita tiada hak untuk menilai dan memburukkan wanita itu kerana kita tidak berada ditempat dia berada pada waktu itu.

Perkara menuduh orang lain melakukan sesuatu tanpa kita ketahui benar salahnya adalah fitnah. Cukup-cukup lah dengan dosa yang kita buat setiap hari ni.

Saya sendiri pernah di fitnah oleh seseorang yang saya sayang dan sanjung. Remuk redam hati ini bila saya dimalukan dihadapan seluruh keluarga saya. Tapi saya tidak pernah berdendam dengannya. Pada hari saya melawatnya di sebuah hospital tahun lalu, disaat dia menitiskan air mata apabila melihat saya di sisi katilnya, di dalam hati saya telah memaafkannya dunia akhirat. Saya tahu bukan mudah bagi seorang lelaki untuk mengeluarkan ungkapan maaf kepada orang lain. Jadi bagi saya, mungkin itu caranya memohon maaf sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Banyak kali saya  di cemuh dan di hina baik dengan kata-kata maupun dengan perbuatan. Tapi tidak sekali-kali akan saya buka aib seseorang itu sekadar untuk melepaskan marah dan dendam yang bersarang dihati. Sebagaimana saya menutup aib orang yang telah menghina saya sebelum ini, begitu juga Allah telah menutup aib saya sepanjang masa.

Memang payah bagi kita untuk mengajar hati menjadi putih bersih tapi Insya Allah, satu hari nanti kita akan berjaya juga dengan izinNya. Wajib bagi kita belajar dan mengejar ilmu dunia dan akhirat tetapi pokok pangkalnya berbalik pada hati kita. Bersih hati kita, bahagialah hidup kita. Busuk hati kita, busuk juga lah jiwa kita.

Kalau boleh, kita semua nak jadi baik dan diredhai oleh Allah S.W.T. Bagi saya, ilmu akhirat masih terlalu banyak kekurangannya dalam diri saya tetapi saya mulakan dengan membersihkan hati dulu. Kita bukan maksum tapi masih boleh terus memperbaiki diri dengan cara membersihkan hati. Insya Allah kita boleh melakukannya.

Salam dari saya,
Rose
17th.Jan '15




No comments:

Post a Comment