Blogger templates

Saturday, 12 September 2015

Petanda Mimpi Yang Menjadi Kenyataan


                                                                

Hari ni saya nak cakap pasal mimpi. Saya tahu selalunya mimpi dikaitkan dengan mainan tidur.  Memang kita tak seharusnya terlalu taksub dengan mimpi yang kita alami sewaktu tidur tetapi apa yang ingin saya kongsikan ini adalah mimpi yang telah  menjadi kenyataan didalam sebahagian daripada hayat saya.
Ada mimpi yang menggembirakan hidup saya dan ada juga yang sebaliknya.  Saya terima mimpi ini semua yang hati yang terbuka.

Walaupun begitu saya selalunya tidak terlalu memberi perhatian kepada mimpi yang saya dapat melainkan gambaran didalam mimpi tersebut sangat jelas dan nyata.

Dibawah adalah sebahagian mimpi yang saya lalui yang menjadi kenyataan:
1) Saya mengalami sakit yang amat sangat di kedua-dua belah kaki saya (dibahagian benjol ibu jari) selama beberapa tahun. Tidak pernah saya ke hospital atau klinik untuk membuat pemeriksaan. Pada pandangan saya ia mungkin desebabkan sewaktu muda, pekerjaan saya memerlukan saya berdiri selama lapan jam sehari. Itu yang mengakibatkan kesakitan, itu yang saya fikirkan.

Satu malam saya bermimpi, saya kerumah ibu angkat saya di Pulau Pinang. Sewaktu dirumahnya ada seorang lelaki sedang mengurut lengan  ibu angkat saya. Kemudian dia mengalih pandangan kea rah saya dan bertanya samada saya ingin mengurut kaki yang sakit itu.
Saya mengangguk kepala dan dia mula mengurut kedua-kedua belah benjolan di ibu jari kaki saya. Saya dapat merasakan perasaan yang nyaman dan “soothing” sewaktu urutan itu.
Pagi esoknya setelah bangun dari tidur, saya terperasan yang kedua belah kaki saya terasa sangat ringan. Kesakitan yang saya alami dulunya dah berkurang.  Setelah beberapa bulan kesakitan itu hilang terus sehingga ke hari ini.

2) Sewaktu saya masih menetap di Langkawi, ada satu kejadian yang agak mencemaskan terjadi kepada kami. Waktu itu kami baru beberapa bulan berpindah ke rumah yang baru dibeli. Keadaan dikawasan perumahan itu sangat sunyi kerana hanya ada dua  atau tiga rumah yang dihuni.
Walaupun rumah itu mempunyai 4 bilik tidur, tetapi kami semua tidur diruang tamu dibahagian bawah kerana masih tidak biasa dengan suasana gelap dan sunyi di situ.

Kami tidur agak awal pada malam kejadian, iaitu malam dimana rumah saya hampir dipecah masuk oleh perompak. Sebelum kejadian, saya telah bermimpi  rumah kami di datangi seorang lelaki dan beliau hanya berdiri dilaluan masuk ke rumah . Dia hanya berdiri dan memandang terus kedalam rumah. Saya terkejut dari mimpi lalu terus bangun  dengan mengucap ‘Astaghfirullah’. Suami yang tersedar dengan keadaan saya, menanyakan keadaan saya. Saya beritahu mimpi yang saya alami.
Kami berdua bangun untuk meninjau didepan rumah samada ada orang yang memerhati kami. Tidak ada sesiapa dan kami sambung tidur semula. Hampir jam 3 pagi, saya dan suami tersentak apabila terdengar bunyi  dentuman yang agak kuat.  Anak-anak  tidur dengan nyenyaknya tanpa menyedari apa yang sedang berlaku.
Kedua-dua kami bergegas bangun dan meninjau sekeliling rumah. Tidak ada apa-apa yang pelik. Saya kemudian kedapur dan menarik ‘blind’ yang menutupi tingkap cermin untuk melihat keluar. Apa yang saya nampak sangat mencemaskan perasaan. Pagar dibelakang rumah telah dipotong dan dibiarkan terbuka supaya senang perompak itu melepaskan diri. Bunyi dentuman itu pula datang dari tingkap cermin yang cuba diumpil.

Sepatutnya saya memberi sedikit perhatian terhadap mimpi saya diawal tidur tadi tetapi saya macam saya lah, tak ambil berat hal-hal sebegini. Tapi saya bersyukur tiada kejadian buruk berlaku kepada kami sekeluarga. Perompak itu mungkin terkejut dengan bunyi yang dihasilkan oleh mereka sendiri dan bertindak melarikan diri sebelum kami sempat berbuat apa-apa.

3) Saya pernah bermimpi (dirumah yang sama di Langkawi), saya didatangi seorang wanita berambut merah dan dia duduk bersila didepan saya. Wanita itu dengan bersuara perlahan tetapi bernada keras berkata kepada saya, “Kalau aku tak dapat buat apa-apa kali ni, aku akan cuba lagi dimasa depan.”

Saya terbangun dari mimpi yang menakutkan itu berpeluh-peluh seluruh badan. Sebelum dari mimpi itu lagi saya telah diberitahu oleh jiran yang juga boleh berubat  cara traditional, yang saya mungkin telah diilmu hitamkan . Tetapi jujur saya beritahu, saya bukanlah jenis orang yang percaya sangat dengan hal sebegini dan saya tak pernah ambil ‘pot’ pun akan perkara sebegini.

Walau bagaimana pun saya harus akui dalam dua tahun tersebut, (mungkin dalam tahun 2003 ~ 2005) saya kerap sakit dan sangat lemah. Yang membuat saya sedikit yakin dengan hal sihir-menyihir ini ialah apabila saya terjumpa jarum yang berbenang kuning  dan putih untuk 2 pagi berturut-turut dihadapan pintu pagar rumah saya dan pada hari ketiga, kami terjumpa beras kunyit pula.  Saya juga mengalami rasa yang amat berat berada diatas bahu saya atau di atas kepala, seolah-olah ada sesuatu yang duduk dibahagian itu selama berbulan-bulan. Kedudukan tempat ini berubah-ubah. Yang terakhir adalah dibahagian perut sebelum ia hilang terus.
Alhamdulilah, apa jua perkara yang berlaku kepada saya beberapa tahun yang lalu, sudah hilang dan sembuh sepenuhnya. Namun saya masih tidak yakin yang saya telah di ‘buat orang’ dulu. Mungkin secara kebetulan saya sakit biasa diwaktu kejadian itu. Wallahualam…

4) Dalam banyak-banyak  petanda mimpi, petanda sebelum kematian yang kerap saya alami. Saya mula mendapat petanda kematian bermula dengan arwah tok saya.
Dalam mimpi itu, saya berada diatas permukaan bukit yang hijau dan ada banyak tiang-tiang roman yang besar seperti yang dapat kita lihat di Italy. Tiba-tiba ada dua ekor burung putih yang sedang  terbang melewati saya. Burung burung itu kemudian jatuh keatas kedua tapak tangan saya, mati.
Tok saya meninggal dunia selang beberapa bulan selepas itu.

Pada 25hb.Ogos 2001, adalah hari jadi anak lelaki saya yang kedua iaitu Soffian. Saya sedang menyiapkan sedikit jamuan kecil utk menyambutnya. Deringan telefon pada pagi hari itu adalah panggilan daripada kakak saya yang membawa berita bapa saya telah pulang ke Rahmatullah.
Seminggu sebelum pemergiannya, saya mendapat petanda didalam mimpi. Didalam mimpi itu, saya nampak ada seakan-akan buih-buih kecil yang jernih seperti kaca Kristal menjurus keatas. Saya terbangun dari tidur lalu terus duduk menegak dengan mengucap Allahu Akbar. Rupa-rupanya ia adalah petanda sebelum pemergian ayahanda saya seminggu selepas itu.

Saya juga mendapat petanda sebelum kembalinya abang ipar saya pergi mengadap PenciptaNya.
Dua kali saya bermimpi (berlainan malam ),mimpi malam yg pertama, saya memakai seluar yang poketnya koyak.  Mimpi malam berikutnya  (selang beberapa malam) suami saya memakai seluar koyak dihadapan rumah kami sambil memetik buah mangga.
Abang ipar saya meninggal lebih kurang dua bulan kemudian.

Petanda mimpi terakhir sebelum satu lagi kematian ialah sebelum adik bongsu saya meninggal pada bulan Januari tahun ini. Sebelum saya mendapat petanda melalui mimpi, saya terlebih dulu dapat petanda melalui perasaan dalaman. Saya banyak bersedih dengan tidak bersebab. Saya akan terbangun di tengah malam dengan hati berdebar-debar dan menangis sayu sendirian.

Hinggalah satu malam saya bermimpi, saya berada di rumah seseorang yang saya kenali dan tuan rumah itu menjamu saya makan nasi tomato. Apabila nasi itu dihidangkan dihadapan saya, warna merah tomato sudah tiada lagi tapi berganti dengan nasi yang berwarna hitam. Walaupun pelik, saya tetap makan nasi tersebut.
Itu adalah sebahagian daripada mimpi yang saya alami sebelum sesuatu kematian.
   
Separuh lagi daripada mimpi yang saya pernah alami adalah mimpi-mimpi yang sangat indah dan menyentuh rasa. Setiap kali saya mengandungkan seorang anak, saya akan dapat mimpi yang tak dapat saya tulis semuanya bimbang akan dikatakan riak, fitnah atau dusta semata-mata.

Walaupun begitu, saya ingin berkongsi satu daripada mimpi tersebut. Saya berjalan dipadang pasir yang kontang dengan tiada apa disekelilingnya apabila tiba-tiba saya ternampak batu hajarul Aswad tergantung diawangan tanpa ada apa-apa yang mengikatnya. Saya maju dengan pantas dengan harapan dapat mencium batu itu. Sesampainya disitu, saya lihat ada seakan akan air jernih mengalir turun dari batu tersebut namun saya tetap menciumnya.

Daripada semua mimpi-mimpi yang pernah saya alami, saya membuat kesimpulan yang sememangnya sebagai seorang manusia, kita telah dilengkapkan dengan segala kesempurnaan baik dari pandangan mata kasar seperti bentuk tubuh fisikal maupun dari dalaman. Iaitu perasaan kasih, sayang, cinta, benci, suka, duka dan bermacam lagi perasaan yang dianugerahkan kepada kita . Dan ini termasuklah satu lagi perasaan halus iaitu kita sebenarnya telah mendapat sedikit gambaran tentang apa yang akan berlaku di dalam hidup kita dimasa akan datang tetapi memandangkan kita tidak peka dengan perasaan itu, maka kita selalunya menepis sebagai tidak apa dan menolak ketepi apa yang dapat kita rasai jauh didalam lubuk sanubari kita.
Perasaan ini tidak selalu datang dalam bentuk mimpi, tetapi juga dari hati kita. Degupan jantung yang kencang atau perasaan yang tidak tenang adalah sebahagian daripada petanda sesuatu mungkin akan berlaku didalam hidup kita.

Walaupun begitu, kita janganlah terlalu taksub dengan perasaan sebegini bimbang  disalah-ertikan sebagai bidaah ataupun hampir kepada syirik. Mimpi-mimpi yang sering kita alami juga sebahagian besarnya hanyalah mainan tidur. Jadi janganlah kita terlalu mempercayai mimpi kerana kebanyakannya hanyalah gangguan iblis semata-mata.

Salam hormat dari saya,
Rose
12th.Sept '15


Lepat Ubi Kayu

Salam semua,

Sewaktu saya menulis resipi ni, saya tengah kukus lepat ubi kayu yang resipinya ada dibawah.
Saya ke pasar tani kat Kundang minggu lepas, kat sini baik ubi kayu ataupun sayur atau ulam seperti pucuk paku dan kangkung semuanya segar-segar belaka.
Mulanya ingat nak buat bengkang(bingka) ubi kayu tapi tiba-tiba teringin pula nak makan lepat sebab dah lama tak makan.

Jadi, jom kita tengok apa yang diperlukan untuk nak buat lepat ubi kayu ni:

5 ketul ubi kayu (saiz kecil)
3 sudu makan gula perang
3 sudu makan gula kastor
sedikit garam
1/2 cawan santan cair
2 sudu makan tepung gandum
Daun pisang

1/2 cawan kelapa parut
sedikit garam

Mula-mula parut semua ubi kayu.
Selesai parut, ambil tuala kecil ataupun kain kasa. Masukkan semua ubi kayu tadi kedalam tuala kecil dan perah keluar airnya.

Asingkan air perahan kedalam mangkuk asing. Biarkan sekitar 5 minit bagi air perahan ini mengasing. Buang lapisan atas air ini dan simpan lapisan bawah.

Ambil ubi kayu tadi dan masukkan kedalam mangkuk dan dicampur dengan lapisan bawah (air perahan tadi.
Gaul sebati bersama dengan sedikit garam dan santan cair.
Masukkan juga gula perang dan dan gula putih.

Pasang api perlahan dan letakkan kuali atau periuk non stick.

Masukkan adunan kedalam kuali dan mula mengacau.
Sekiranya adunan agak lembik, masukkan sedikit demi sedikit tepung gandum tadi sehingga adunan mula mengental. Jangan terlebih tepung takut keras pula lepat kita.


Kacau sehingga adunan mula bertukar menjadi kejernihan. Jangan terlalu masak. Cukup sekadar separuh masak sebab kita akan mengukus pula selepas ini.

Tutup api dan angkat keluar.

Biarkan sejuk sedikit.
Layurkan daun pisang  diatas api perlahan, kemudian koyakkan nya anggaran 6~7 inci lebar.


Ambil anggaran 2~3 makan adunan tadi, dan leperkan diatas daun pisang.

Setelah dileperkan, ambil sedikit kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam dan aturkan memanjang diatas adunan yang dileperkan. (Kalau tak suka kepala, tak perlu dimasukkan)


Bila dah siap, angkat kedua-dua belah daun pisang dan lekapkan bersama supaya lepat menjadi kental, seperti gambar diatas.


Kemudian barulah dibungkus kemas.

Sementara itu, panaskan steamer sehingga air mendidih.
Masukkan lepat kedalam pengukus dan biarkan selama lebih kurang 15 minit.

Tutup api dan angkat keluar.


Memang sedap dan berkhasiat sebab ubi kayu ada banyak vitamin B17.
Mesti cuba kepada yang belum pernah mencuba masak lepat ubi kayu ni.


Anggaran kos :

Ubi kayu          : RM 3.50
Santan              : RM 1.00
Kelapa parut    : RM  1.00
Lain-lain          : RM 2.00

Jumlah kos      : RM 7.50 (Boleh dapat lebih kurang 16 biji)

Salam dari saya,
Rose
12th.Sept '15

Saturday, 5 September 2015

Makan-Makan Di Tasik Biru

Salam buat semua,

Hari minggu lepas, saya se keluarga ke satu restoran yang baru dibuka di Tasik Biru Kundang.
Kundang terletak bersebelahan dengan daerah Kuang. Walaupun berhampiran Sungai Buloh, Kundang berada di dalam kawasan Rawang.

Restoran yang saya maksudkan ialah Anjung D Tasik Biru. Betul-betul mengadap Tasik Biru. Restoran ni sangat besar, dua tingkat. Bahagian bawah lebih kepada menu Ala Carte manakala bahagian atas menyajikan hidangan B.B.Q dan Steamboat.

Mereka juga ada menyediakan pakej 'set meal'. Memandangkan kami berlima beranak, kami ambil pakej untuk 4 ~ 5 orang dengan harga RM 95.00
Menu nya terdiri daripada Ikan Siakap (kami minta masak 3 rasa), kerabu mangga, sayur campur, Tomyam seafood, telur dadar , daging, buah-buahan dan air minuman.


Mulanya kami agak skeptikal dengan makanan disini. Maklum sajalah tempat baru dibuka, pelayan-nya pun nampak masih belum begitu cekap didalam tugas dia orang.
Makanan kami tiba selepas 25 minit menunggu. Okay lah jugak. Tak begitu lama menunggu.


Mesti semua nak tahu macam mana rasa makanan di restoran ni, kan?
Sedap! Betul sedap. Saya tak tipu, saya juga bukan nak promosi restoran ini tapi memang betul sedap.
Kami semua tidak menyangka yang makanan disini memenuhi citarasa kami berlima.
Ikan siakap tiga rasa dan tomyam nya is 'wunderbar', bak kata orang Jerman.
Lain-lain hidangan juga tidak kurang dari segi rasa.

Sudah tentu saya akan kesana lagi memandangkan harganya pun tidak keterlaluan. Saya cuma harap pemilik restoran ini tidak mudah kelam mata dan menaikkan harga apabila tempat ini mula mendapat sambutan di masa akan datang.

Macam mana nak ke sini? Kalau dari Sungai Buloh, ambil jalan yang menuju ke Bukit Rahman Putra (BRP). Terus pandu sehingga sampai ke persimpangan lampu merah Kuang. Dari traffic light ini ke Tasik Biru, saya rasa jaraknya lebih kurang 1.5km. Restoran ini terletak disebelah kiri. Anda harus memandu masuk sedikit kedalam.

Saya belum sempat ambil gambar restoran ni. Nanti dalam sehari dua ni, saya akan cuba ambil dan upload di sini ya.

Salam dari saya,
Rose
5th.Sept '15

Pancake

Assalamualaikum dan Salam Sabtu,

Semenjak saya berhijrah ke Selangor sejak tahun lalu, dah makin kurang masa saya untuk meng-uploadkan resipi-resipi masakan yang selalu saya masak dirumah.

Bukannya tak nak, tapi masa saya banyak dihabiskan dijalanan. Sekejap hantar anak ni ketempat kerja, sekejap lagi pulak dah nak ambik anak yang lagi satu.
Kalau di Langkawi dulu, saya ada banyak masa terluang.

Apapun, hari ni saya letak satu lagi resipi kegemaran ramai pada masa kini. Kita buat pancake. Walaupun makanan ini adalah makanan orang barat tapi dah ramai masyarakat kita yang suka makan pancake ni.

Jadi jom tengok apa bahan yang diperlukan:

2 cawan tepung gandum
1 potong butter - di cairkan (anggaran 150gm)
1 biji telur
250 ml susu segar
sedikit garam
1 sudu teh gula
1 sudu teh soda bikabonat

Susu dimasukkan kedalam satu bekas bersama telur. Pukul sekejap dan ketepikan.

Tepung diayak bersama dengan soda b, kemudian masukkan gula dan garam.
 Masukkan kedalam mangkuk dan buat lubang ditengah.
Tuang susu/telur yang dipukul tadi dan kacau sehingga sebati.
Seterusnya masukkan pula mentega cair tadi dan pukul lagi sehingga tiada berbintil.
(kalau masih juga berbintil, masukkan saja kedalam blender dan blend sehingga halus.


Adunannya harus lah seperti adunan goreng pisang tetapi lebih kental sedikit.
(Sekiranya adunan agak likat, bolehlah ditambah air untuk membuatkan batter lebih cair.)

Panaskan kuali non-stick dan dengan menyapu sedikit minyak dipermukaan, tuangkan satu senduk adunan kedalam kuali tersebut.

Bila adunan sudah nampak sedikit bersarang (akan timbul lubang udara), terbalikkan kepermukaan yang disebelah lagi.

Biarkan dalam 10 saat. Kemudian dah boleh diangkat.


Hidangkan bersama dengan madu dan butter. Boleh juga dimakan bersama dengan kaya atau peanut butter atau apa saja yang kita suka.

Pancake ni macam roti canai juga, lebih sedap dimakan sewaktu panas-panas.

Salam dari saya,
Rose
5th.Sept '15