Hari ni saya nak cakap pasal mimpi. Saya tahu selalunya
mimpi dikaitkan dengan mainan tidur.
Memang kita tak seharusnya terlalu taksub dengan mimpi yang kita alami
sewaktu tidur tetapi apa yang ingin saya kongsikan ini adalah mimpi yang telah menjadi kenyataan didalam sebahagian daripada
hayat saya.
Ada mimpi yang menggembirakan hidup saya dan ada juga yang
sebaliknya. Saya terima mimpi ini semua
yang hati yang terbuka.
Walaupun begitu saya selalunya tidak terlalu memberi
perhatian kepada mimpi yang saya dapat melainkan gambaran didalam mimpi
tersebut sangat jelas dan nyata.
Dibawah adalah sebahagian mimpi yang saya lalui yang menjadi
kenyataan:
1) Saya mengalami sakit yang amat sangat di kedua-dua belah
kaki saya (dibahagian benjol ibu jari) selama beberapa tahun. Tidak pernah saya
ke hospital atau klinik untuk membuat pemeriksaan. Pada pandangan saya ia
mungkin desebabkan sewaktu muda, pekerjaan saya memerlukan saya berdiri selama
lapan jam sehari. Itu yang mengakibatkan kesakitan, itu yang saya fikirkan.
Satu malam saya bermimpi, saya kerumah ibu angkat saya di
Pulau Pinang. Sewaktu dirumahnya ada seorang lelaki sedang mengurut lengan ibu angkat saya. Kemudian dia mengalih
pandangan kea rah saya dan bertanya samada saya ingin mengurut kaki yang sakit
itu.
Saya mengangguk kepala dan dia mula mengurut kedua-kedua
belah benjolan di ibu jari kaki saya. Saya dapat merasakan perasaan yang nyaman
dan “soothing” sewaktu urutan itu.
Pagi esoknya setelah bangun dari tidur, saya terperasan yang
kedua belah kaki saya terasa sangat ringan. Kesakitan yang saya alami dulunya
dah berkurang. Setelah beberapa bulan
kesakitan itu hilang terus sehingga ke hari ini.
2) Sewaktu saya masih menetap di Langkawi, ada satu kejadian
yang agak mencemaskan terjadi kepada kami. Waktu itu kami baru beberapa bulan
berpindah ke rumah yang baru dibeli. Keadaan dikawasan perumahan itu sangat
sunyi kerana hanya ada dua atau tiga rumah
yang dihuni.
Walaupun rumah itu mempunyai 4 bilik tidur, tetapi kami
semua tidur diruang tamu dibahagian bawah kerana masih tidak biasa dengan
suasana gelap dan sunyi di situ.
Kami tidur agak awal pada malam kejadian, iaitu malam dimana
rumah saya hampir dipecah masuk oleh perompak. Sebelum kejadian, saya telah
bermimpi rumah kami di datangi seorang
lelaki dan beliau hanya berdiri dilaluan masuk ke rumah . Dia hanya berdiri
dan memandang terus kedalam rumah. Saya terkejut dari mimpi lalu terus
bangun dengan mengucap ‘Astaghfirullah’.
Suami yang tersedar dengan keadaan saya, menanyakan keadaan saya. Saya beritahu
mimpi yang saya alami.
Kami berdua bangun untuk meninjau didepan rumah samada ada orang
yang memerhati kami. Tidak ada sesiapa dan kami sambung tidur semula. Hampir
jam 3 pagi, saya dan suami tersentak apabila terdengar bunyi dentuman yang agak kuat. Anak-anak
tidur dengan nyenyaknya tanpa menyedari apa yang sedang berlaku.
Kedua-dua kami bergegas bangun dan meninjau sekeliling
rumah. Tidak ada apa-apa yang pelik. Saya kemudian kedapur dan menarik ‘blind’
yang menutupi tingkap cermin untuk melihat keluar. Apa yang saya nampak sangat
mencemaskan perasaan. Pagar dibelakang rumah telah dipotong dan dibiarkan
terbuka supaya senang perompak itu melepaskan diri. Bunyi dentuman itu pula
datang dari tingkap cermin yang cuba diumpil.
Sepatutnya saya memberi sedikit perhatian terhadap mimpi
saya diawal tidur tadi tetapi saya macam saya lah, tak ambil berat hal-hal
sebegini. Tapi saya bersyukur tiada kejadian buruk berlaku kepada kami
sekeluarga. Perompak itu mungkin terkejut dengan bunyi yang dihasilkan oleh
mereka sendiri dan bertindak melarikan diri sebelum kami sempat berbuat
apa-apa.
3) Saya pernah bermimpi (dirumah yang sama di Langkawi),
saya didatangi seorang wanita berambut merah dan dia duduk bersila didepan
saya. Wanita itu dengan bersuara perlahan tetapi
bernada keras berkata kepada saya, “Kalau aku tak dapat buat apa-apa kali ni,
aku akan cuba lagi dimasa depan.”
Saya terbangun dari mimpi yang menakutkan itu berpeluh-peluh
seluruh badan. Sebelum dari mimpi itu lagi saya telah diberitahu oleh jiran
yang juga boleh berubat cara traditional,
yang saya mungkin telah diilmu hitamkan . Tetapi jujur saya beritahu, saya
bukanlah jenis orang yang percaya sangat dengan hal sebegini dan saya tak
pernah ambil ‘pot’ pun akan perkara sebegini.
Walau bagaimana pun saya harus akui dalam dua tahun
tersebut, (mungkin dalam tahun 2003 ~ 2005) saya kerap sakit dan sangat lemah.
Yang membuat saya sedikit yakin dengan hal sihir-menyihir ini ialah apabila
saya terjumpa jarum yang berbenang kuning dan putih untuk 2 pagi berturut-turut dihadapan
pintu pagar rumah saya dan pada hari ketiga, kami terjumpa beras kunyit pula. Saya juga mengalami rasa yang amat berat
berada diatas bahu saya atau di atas kepala, seolah-olah ada sesuatu yang duduk
dibahagian itu selama berbulan-bulan. Kedudukan tempat ini berubah-ubah. Yang
terakhir adalah dibahagian perut sebelum ia hilang terus.
Alhamdulilah, apa jua perkara yang berlaku kepada saya
beberapa tahun yang lalu, sudah hilang dan sembuh sepenuhnya. Namun saya masih
tidak yakin yang saya telah di ‘buat orang’ dulu. Mungkin secara kebetulan saya
sakit biasa diwaktu kejadian itu. Wallahualam…
4) Dalam banyak-banyak
petanda mimpi, petanda sebelum kematian yang kerap saya alami. Saya mula
mendapat petanda kematian bermula dengan arwah tok saya.
Dalam mimpi itu, saya berada diatas permukaan bukit yang
hijau dan ada banyak tiang-tiang roman yang besar seperti yang dapat kita lihat
di Italy. Tiba-tiba ada dua ekor burung putih yang sedang terbang melewati saya. Burung burung itu
kemudian jatuh keatas kedua tapak tangan saya, mati.
Tok saya meninggal dunia selang beberapa bulan selepas itu.
Pada 25hb.Ogos 2001, adalah hari jadi anak lelaki saya yang
kedua iaitu Soffian. Saya sedang menyiapkan sedikit jamuan kecil utk
menyambutnya. Deringan telefon pada pagi hari itu adalah panggilan daripada
kakak saya yang membawa berita bapa saya telah pulang ke Rahmatullah.
Seminggu sebelum pemergiannya, saya mendapat petanda didalam
mimpi. Didalam mimpi itu, saya nampak ada seakan-akan buih-buih kecil yang
jernih seperti kaca Kristal menjurus keatas. Saya terbangun dari tidur lalu
terus duduk menegak dengan mengucap Allahu Akbar. Rupa-rupanya ia adalah
petanda sebelum pemergian ayahanda saya seminggu selepas itu.
Saya juga mendapat petanda sebelum kembalinya abang ipar
saya pergi mengadap PenciptaNya.
Dua kali saya bermimpi (berlainan malam ),mimpi malam yg
pertama, saya memakai seluar yang poketnya koyak. Mimpi malam berikutnya (selang beberapa malam) suami saya memakai
seluar koyak dihadapan rumah kami sambil memetik buah mangga.
Abang ipar saya
meninggal lebih kurang dua bulan kemudian.
Petanda mimpi terakhir sebelum satu lagi kematian ialah
sebelum adik bongsu saya meninggal pada bulan Januari tahun ini. Sebelum saya
mendapat petanda melalui mimpi, saya terlebih dulu dapat petanda melalui
perasaan dalaman. Saya banyak bersedih dengan tidak bersebab. Saya akan
terbangun di tengah malam dengan hati berdebar-debar dan menangis sayu
sendirian.
Hinggalah satu malam saya bermimpi, saya berada di rumah
seseorang yang saya kenali dan tuan rumah itu menjamu saya makan nasi tomato.
Apabila nasi itu dihidangkan dihadapan saya, warna merah tomato sudah tiada
lagi tapi berganti dengan nasi yang berwarna hitam. Walaupun pelik, saya tetap
makan nasi tersebut.
Itu adalah sebahagian daripada mimpi yang saya alami sebelum
sesuatu kematian.
Separuh lagi daripada mimpi yang saya pernah alami adalah
mimpi-mimpi yang sangat indah dan menyentuh rasa. Setiap kali saya
mengandungkan seorang anak, saya akan dapat mimpi yang tak dapat saya tulis
semuanya bimbang akan dikatakan riak, fitnah atau dusta semata-mata.
Walaupun begitu, saya ingin berkongsi satu daripada mimpi
tersebut. Saya berjalan dipadang pasir yang kontang dengan tiada apa
disekelilingnya apabila tiba-tiba saya ternampak batu hajarul Aswad tergantung
diawangan tanpa ada apa-apa yang mengikatnya. Saya maju dengan pantas dengan
harapan dapat mencium batu itu. Sesampainya disitu, saya lihat ada seakan
akan air jernih mengalir turun dari batu tersebut namun saya tetap menciumnya.
Daripada semua mimpi-mimpi yang pernah saya alami, saya
membuat kesimpulan yang sememangnya sebagai seorang manusia, kita telah
dilengkapkan dengan segala kesempurnaan baik dari pandangan mata kasar seperti
bentuk tubuh fisikal maupun dari dalaman. Iaitu perasaan kasih, sayang, cinta,
benci, suka, duka dan bermacam lagi perasaan yang dianugerahkan kepada kita .
Dan ini termasuklah satu lagi perasaan halus iaitu kita sebenarnya telah
mendapat sedikit gambaran tentang apa yang akan berlaku di dalam hidup kita
dimasa akan datang tetapi memandangkan kita tidak peka dengan perasaan itu,
maka kita selalunya menepis sebagai tidak apa dan menolak ketepi apa yang dapat
kita rasai jauh didalam lubuk sanubari kita.
Perasaan ini tidak selalu datang dalam bentuk mimpi, tetapi
juga dari hati kita. Degupan jantung yang kencang atau perasaan yang tidak
tenang adalah sebahagian daripada petanda sesuatu mungkin akan berlaku didalam
hidup kita.
Salam hormat dari saya,
Rose
12th.Sept '15
No comments:
Post a Comment