Minggu lepas saya dan kedua2 anak perempuan sempat bercuti ke Jogjakarta. Kami pergi bertiga saja. Suami dan anak-anak lelaki agak sibuk, maklumlah menjelang Krismas, hotel-hotel dan pelancong ramai ke Langkawi.
Yang bestnya, tiket penerbangan kami free. Sara menang dua tiket percuma pergi balik ke Jogja pada bulan Julai lalu. Setelah di congak dan di fikir berkali-kali, kami membuat keputusan untuk pergi bulan Disember.
Kami bertolak pada hari Rabu (18hb.Dec 2013) jam 12:00tengahari dari Kuala Lumpur. Sampai Jogja jam 13:30 time Jogja. Sebelum kesana, tanpa pengetahuan Sara, saya dah email ke hotel minta dia orang tulis nama Sara bila buat paging semasa ketibaan kami. Bukannya apa, si Sara ni cakap dengan saya, dia suka kalau tengok nama dia yang terpampang di kertas paging tu bila sampai kesatu-satu tempat. Ehmm..macam-macam dengan anak-anak ni.
Sesampainya kami di airport Adisucipto Jogjakarta, driver kami dah menunggu dengan nama Sara terpampang di kertas pagingnya. Kami terus mengikutnya untuk menaiki kenderaan yang akan membawa kami ke hotel. Yang bestnya tu, dalam perjalanan, pada mulanya kami bersembang secara general saja, tapi tiba2 entah macam mana masuk pulak topik bola (jangan tak tahu kedua-dua Sophie dan Sara adalah peminat tegar Liverpool dan Manchester U) Dengan semangatnya pemandu tu bagitau kami yang dia minat gila dengan Safee Sali. Dia bilang kayak gini (hebat dak bahasa Indonesia saya), "saya senang banget sama Safee Sali. Larinya kenceng. Kalau nonton, saya senang kalau Safee yang main, tapi kalau Irfan Bachdim itu, saya kurang." Hebatkan Safee Sali? Alhamdulilah, pandai dia bawa diri di negara orang.
Sesampai dihotel lebih kurang jam 3:00petang, kami check in dan lepas tu terus keluar cari makan. Maklumlah, kalau ikutkan jam Malaysia, waktu tu dah pun pukul empat petang. Kami jalan menyusur laluan pejalan kaki di luar hotel. Agak jauh berjalan, kami ternampak satu kedai makan ni, dari luar nampak tak bermaya dan gelap. (tapi saya nampak kebanyakkan kedai makan disana nampak kurang berseri, mungkin kurang lampu atau pencahayaan) Kami redah masuk jugak sebab dah kelaparan. Saya dan Sophie agak adventurous jugak dalam bab makanan. Sara agak payah tapi saya tahu selera dia.
Sebab apa saya menulis hal makan ni? Sebab bila saya order mee ayam pangsit, rasanya sangatlah sedap, out of this world gitu.
Ini dia rupa mee ayam pangsit yg sedap tu.. |
Saya tengok biasa ja mee tu, macam kita kat sini tapi, ayam dia yang membuatkan mee tu jadi sangat sedap. Saya order juga nasi goreng seafood, cakoi atau yang hampir serupa dengannya tapi di isi dengan ketulan udang yang distim dan semangkok bakso. Semua sekali dengan air dalam RM 20.00. Memang berbaloi sangat.
Sebelum saya kesana, saya dah siap google kemana nak dituju dan apa nak dibuat bila di sana. Saya pulak tak berapa suka nak ikut package sebab kita terikat dengan masa dan tempat yang akan dilawati.
Jadi apa yang saya buat ialah, saya check harga dengan pekerja hotel dulu dan bandingkan dengan harga yang saya jumpa semasa mengGoogle. Dengan cara tu, saya dapat apa yang saya nak.
Jadi kami mengambil keputusan untuk ke Borobudur dan Gunung Merapi pada keesokan harinya iaitu 19hb.Dis'13.
Kami siap menunggu dilobi pada jam 10:50pagi. Tour kami sepatutnya bermula pada jam 11;00pagi. Driver kami, Yanto sampai tepat pada masanya. Tapi kami perlu menunggu Mai, teman Sophie dari Indonesia. Dia terperangkap dalam kesesakan laulu lintas. Dia tiba lebih kurang dua puluh minit kemudian.
Selepas berbincang sekejap dengan Mas Yanto dan setuju dengan harga yang ditetapkan iaitu RP 450,000.00, untuk 10 jam (bersamaan RM120.00) kami terus bertolak ke Candi Borobudur. Ambil masa lebih kurang 45~50 minit gitu. Saya amat suka dengan pemandangan sepanjang perjalanan ke sana. Indonesia mempunyai muka bumi yang sangat indah.
Perlu berjalan agak jauh untuk ke Candi Borobudur tu |
Agak penat juga berjalan sebab kawasannya sangat luas. Saya pulak bukan jenis yang pandai appreciate bangunan atau runtuhan lama, jadi saya tak terlalu teruja sangat dengan tempat ni. Cuma apa yang boleh saya katakan dari pemerhatian saya, tempat ini dari segi binaannya sehingga kedudukannya dan warna candi itu sendiri sangat mengagumkan sesiapa yang berada disitu.
Kami di sana selama lebih kurang satu jam. Memandangkan zohor dah hampir habis, oh ya waktu solat zohor disana mula lebih kurang pukul 11:30pagi dan 'Asar pulak lebih kurang pukul 3 petang. Kami masih agak keliru dengan time difference ni. Sebab takut habis waktu solat Zohor, kami pergi ke surau yang paling dekat iaitu didalam kawasan candi itu sendiri dan solat disana. Apa yang saya nampak disepanjang perjalanan kami disana, hampir semua tempat yang kami berhenti dan kunjungi mempunyai surau mereka sendiri. Sangat convenient bagi pelawat-pelawat. Cuma satu saja kurangnya. Surau itu kalau dijauhkan sikit dari toilet akan nampak lebih sopan dan bersih.
Habis solat, kami mula berjalan keluar untuk ke destinasi seterusnya. Bila sampai saja diluar kawasan candi, mata saya terus tertumpu ke gerai kecil menjual satay. Sebetulnya bukan gerai. Satay tu dia orang letak dalam bekas macam penampi beras yang boleh dikandar, macam dulu-dulu kat kampong. Ini satu lagi uniknya Indonesia. Satay seolah-olah makanan harian tak kira masa dan tempat. Baik waktu pagi maupun waktu malam. Selalu aja ada orang menjual satay. Saya bertegas nak beli satay tapi anak-anak kata tunggu dulu sebab dah masuk lunch time. Akhirnya dia orang mengalah dengan saya. Saya beli juga 3 bekas, setiap bekas 10cucuk (dalam daun pisang). Sedap sungguh kuah kacang dia. Tapi saya sangat suka nasi impit (ataupun lontong). Rasa beras dia macam pulut. Betul sedap.
Kami makan satay didalam kereta dalam perjalanan ke Gunung Merapi. Pemandu kami mengambil jalan pintas sebab nak elak kesesakan.Dia berhenti di persimpangan yang agak sibuk sambil kami berbual dengan Mai yang sangat ramah dan lucu. Kalau nak tahu, Mai ni punya suara yang sedap. Saya minta dia nyanyi lagu Rossa, Once dan lain-lain, bergema suara dia didalam kereta.
Saya baru berpusing muka ke arah luar kenderaan bila saya dapat melihat satu motorsikal sedang bergerak laju kearah kami. Saya dan Sara macam terkaku sebentar mungkin memikirkan benda yang sama, motor ni pasti akan melanggar kami. Memang tepat jangkaan kami. Kami melihat secara live motorsikal itu menghentam bahagian pintu pemandu dengan kuat. Saya boleh nampak mukanya terhempas kecermin tingkap dan darah meleleh keluar dari dahi dan hidungnya. Ada rasa kesian dan simpati kepada orang itu walaupun kami semua tahu memang kesalahan itu seratus peratus dari dia.
Selesai urusan pelanggaran tadi, kami terus menuju ke Gunung Merapi. Sungguh-sungguh saya katakan, Indonesia mempunyai muka bumi yang sangat indah. Kami sampai di kaki Kaliurang lebih kurang pukul 4.30petang. Yanto memandu lagi sehingga kami sampai ke Ttlago Puteri kalau tak silap saya. Disitu dia berhenti kerana kami harus menggunakan jeep 4 X 4 utk mendaki Gunung Merapi tu.
Sekejap lagi dalam pukul 5.45petang akan masuk maghrib. Jadi, kami terus ke surau kecil disitu dulu untuk membuat solat 'Asar dulu. Okay, dah siap.
Driver jeep kami, Danu, anak muda yang baru berumur 17 tahun akan membawa kami keatas. Dia memandu macam orang muda memandu. Laju dan kasar. Anak-anak saya dan Mai enjoy sungguh. Saya pun kira okay juga la. Orang tua, nak enjoy macam mana la sangat. Asalkan anak2 happy sudah. Dalam perjalanan tu (kami ambil masa lebih kurang satu jam ) kami dapat melihat bagaimana kediaman orang-orang kampung yang terkesan disebabkan oleh awan panas dari gunung merapi yang lalu. Lihat gambar-gambar yang saya paparkan. Rumah-rumah disitu rosak teruk sebelum volcano meletus lagi. Awan panas yang menyebabkan rumah mereka menjadi begitu. Masya'allah, saya tak tahu nak gambarkan apa perasaan yang saya rasa ketika itu. Ini semua adalah peringatan dari Allah SWT kepada kita. Menunjukkan betapa kebesarannya tak dapat di halang oleh sesiapa atau apa saja.
Kami juga berenti untuk menjenguk bunker atau bilik bawah tanah yang cuba dibina oleh penduduk kampong menjelang meletusnya gunung berapi itu. Kami difahamkan dua orang meninggal didalam bunker itu, tak tahu samada mereka sedang cuba untuk keluar dari situ ataupun untuk bersembunyi di situ. Subhanallah, semuanya atas kehendakNya.
Kami beredar pada jam lebih kurang 6.30petang kerana hari dah terlalu gelap dan tak boleh nak tengok apa-apa lagi. Tapi saya bersyukur sebab dapat kesana dan perkara begini dapat memberi keinsafan kepada saya dan anak-anak.
Dah panjang sangat saya menulis ni. Saya berenti dulu. Nanti saya cuba tulis bahagian kedua pula iaitu perjalanan kami ke Dieng Plateau. Tanah tinggi yang mempunyai tasik bewarna yang mengagumkan.
Ini ada gambar-gambar di sekitar Gunung Merapi untuk tatapan pembaca semua.
Padang jarak padang tekukur |
Runtuhan rumah penduduk kampong disebabkan awan panas sebelum gunung meletus |
Jam ini mati tepat pada masa yang sama gunung meletus |
Ini lah rupa bunker yang di bina penduduk utk menyelamatkan diri dari gunung berapi |
Salam hormat dari saya,
Rose
30th.Dec '13