Wednesday, 10 February 2016
Sambal Hitam Pahang
Salam semua,
Apa khabar semua pembaca saya? Rasa macam dah lama sangat saya tak upload apa-apa entry di blog saya ini. Bukan malas tapi saya agak sibuk kebelakangan ni.
Hari ni saya nak muatkan resipi sambal hitam Pahang atau sambal belimbing buluh yang terkenal di Pahang.
Bagi saya yang berasal dari Utara, saya memang tak berapa tahu menahu tentang sambal ni sehinggalah saya berpindah ke Sungai Buluh, Selangor. Di sini, kerap saya dengar komen dari jiran-jiran dan teman whatsapp yang mengatakan sambal hitam ini sangat sedap dan menyelerakan.
Jadi, saya pun Google tengok cara nak buat sambal hitam ini. Orang Pahang jangan marah sekiranya cara saya menyediakannya tidak sama seperti yang sepatutnya. Niat hanya ingin berkongsi dengan semua pembaca terutamanya dari Utara yang mungkin tidak pernah mencubanya sendiri dirumah.
P/S : Harga sambal hitam di kawasan sekitar perumahan saya ialah RM 10.00 satu bekas plastic kecil. Mahal kan?
Ini lah bahan-bahan yang diperlukan :
15 biji belimbing buluh
3/4 mangkuk ikan bilis (mangkuk sederhana)- dicuci dan di toskan
10 cili padi
7~8 ulas bawang merah
Sedikit bwg putih
Kicap manis
Gula
Garam
Cara penyediaannya :
1) Belimbing buluh dicuci dan dimasak diatas api sederhana perlahan tanpa air atau minyak.
Ini akan mengambil masa yang lama.
Masak sehingga hitam dan kering air sepenuhnya.
(Kalau ada kuali buruk, lebih baik sebab memasak asam belimbing ini akan meninggalkan bekas yang susah di cuci.)
Lagi elok, kalau dapat di jemur dibawah matahari untuk mengeringkannya secara total.
2) Tumbuk cili padi beserta dengan bawang tadi.
Kemudian masukkan pula asam belimbing, tumbuk lagi hingga hancur dan sekata.
3) Terakhir, masukkan pula ikan bilis dan tumbuk. Jangan terlalu halus, biarkan sedikit kasar.
4) Now, macam biasa, panaskan kuali dengan sedikit minyak.
5) Masukkan bahan yang ditumbuk tadi. Masak goreng macam biasa. Bila dah agak kering, bolehlah dimasukkan sedikit gula dan kicap manis.
Garam mungkin tidak diperlukan sebab kita dah gunakan banyak ikan bilis tadi. Cuba rasa dulu.
6) Masak lagi sehingga kering. Masa yang saya ambil untuk betul-betul mendapatkan sambal yang kering, lebih kurang satu jam.
7) Sambal akan masak apabila tidak lagi melekat dikuali.
8) Inilah hasilnya.
Apa pendapat saya tentang sambal ni? Sedap, betul sedap. Lain dari sambal yang kita selalu makan, cuma lain kali kalau saya ingin membuatnya lagi, saya akan kurangkan asam belimbing dan cili kerana perut saya mempunyai masalah dengan benda-benda masam dan pedas. Other than that, it's marvellous.
Jadi, anda boleh cubanya dirumah, murah dan menyelerakan.
Anggaran kos :
Belimbing : RM 2.40
Ikan bilis : RM 2.00
Cili api : RM 0.50
Lain-lain bahan : RM 2.00
Jumlah RM 6.90
Salam dari saya,
Rose
11th.Feb '16
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment